Friday, April 8, 2011

Ustaz Oh Ustaz

[Kemaskini] Semalam saya mengikuti satu kuliah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz yang saya rasa sedikit terkilan dengan ustaz tersebut. Bukannya saya mempertikaikan Pendidikan Islam yang diperolehnya dari pondok-pondok ataupun universiti tetapi caranya sedikit terpesong daripada kebiasaan.

Saya menyatakan begitu kerana apabila ada beberapa orang yang meminta hukum atau pandangan daripadanya, beliau tidak menjawab persoalan tersebut tetapi mempertikaikan soalan yang ditanyakan. Apabila kita meminta kepastian daripadanya, beliau mula melenting, marah kerana menyatakan kami mempertikaikan ilmu yang dipelajarinya selama kurang lebih 30 tahun.

Pada pandangan saya ustaz ini telah sedikit menyeleweng daripada sebenarnya kerana seolah-olah beliau telah menidakkan hak untuk bertanya mengenai Islam apabila menyatakan bahawa beliau telah belajar selama lebih kurang 30 tahun dan penanya tidak boleh menekannya untuk menjawab soalan tersebut kerana beliau lebih mengetahuinya. Sedangkan beliau tidak menjawab soalan yang diajukan tetapi memusing-musing kepada perkara lain.

Ustaz ini seolah-olah menyekat orang lain daripada memahami Islam dan menyatakan Islam ini payah sehinggakan perlu belajar sepertinya dahulu baru boleh memahami Islam. Saya tidak mempertikaikan ilmunya, memang ilmunya tinggi tetapi apa yang saya pertikaikan ialah mengenai caranya menyekat orang untuk memahami Islam. Itu sahaja, apa salahnya jika beliau menjawab persoalan yang ditanyakan dengan baik berpandukan ilmu yang diperolehinya selama 30 tahun itu.

Bayangkan apa perasaan orang yang bertanya tersebut, jika dimalukan sedemikian rupa di khalayak ramai. Adakah selepas daripada ini dia akan bertanya lagi jika mempunyai kemusykilan mengenai Islam? Jawapannya sudah tentu tidak. Itulah sebabnya saya menyatakan ustaz ini menjauhkan orang lain daripada memahami Islam. Orang Kelantan sebut sebagai “mutus angin”.

Begitu juga mengenai cara beliau menegur pengerusi majlis pada malam itu yang silap membaca hadis, bab tegur tu betul tetapi tidak kena pada tempatnya apabila beliau memalukan pengerusi tersebut di hadapan orang ramai. Takkan tak boleh tegur kat belakang, sampai nak memalukan orang lain. Lepas kuliah nanti boleh jumpa apa. Perkara ini akan menyebabkan pengerusi tersebut akan tawar hati untuk belajar lagi bab-bab begini selepas daripada ini. Cara beliau menegur bukan hendak mengajar tetapi “nok mapuh” kata orang Kelantan. Tegur tetapi tidak memberitahu tang mana salahnya, nak perbetulkan jauh sekali.

Beberapa kali beliau mengulangi mengenai tentang dirinya yang telah belajar selama 30 tahun dan seolah-olah orang yang baru hendak mula belajar ini tidak layak untuk mengetahui selok-belok Islam, yang boleh hanya golongan yang telah belajar 25 atau 30 tahun. Ini merupakan perkara yang perlu diperbetulkan oleh ustaz tersebut.

Begitu juga selepas selesai kuliah tersebut, sewaktu makan apabila pengarah projek menyatakan bahawa pada minggu hadapan ustaz lain akan memberikan kuliah, beliau mula melenting, bertanya siapa yang menghalangnya untuk menyampaikan kuliah tersebut. Tak pasal-pasal pengetua yang kena. Haha… sedangkan perkara tersebut telah menjadi tradisi di sini, setiap minggu ustaz yang berlainan akan bergilir-gilir menyampaikan kuliah tersebut dan bukannya ada orang yang tidak mahukannya.

Walaupun sebelum ini saya merupakan antara orang yang kuat menghalang dari menjemput ustaz ini kerana saya sudah mengenalinya dalam satu program sebelum daripada ini. Melalui percakapannya saya sudah dapat menilai ustaz ini, bagaimana karakternya. Tetapi pengarah projek tetap hendak memanggilnya, apa boleh saya buat. Setelah tiga kali ustaz tersebut memberi kuliah barulah kini dia merasa tidak selesa dengan cara ustaz tersebut. Baru dia tahu. Hehe… semalam dengan dia-dia sekali kena tembak hahaha… padan muka, kan aku dah kata. Minggu depan Insya-Allah dengan ustaz yang lain pula.

  
Berita yang baru saya terima dari rakan saya yang rapat dengan ustaz tersebut, dulu ustaz ni sebenarnya tiada masalah, sama macam ustaz-ustaz yang lain. Beliau juga kuat dalam pergerakan Islam tetapi kini selepas beliau mempelajari ilmu tarekat, beliau telah berubah sama sekali. Saya dan rakan masih tertanya-tanya kenapa ustaz tersebut telah berubah. Adakah ustaz tersebut telah mempelajari ilmu yang salah atau ajaran sesat telah meresap ke dalam diri ustaz tersebut?. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment