Alhamdulillah, tadi diberi kesempatan oleh Allah untuk memberi tazkirah ringkas sebelum pulang esok, Insya-Allah. Dalam tazkirah tadi saya menyebut mengenai kisah yang berlaku pada zaman Bani Israel yang dipetik dari kitab Al-Kaba’ir yang dikarang oleh Imam Dzahabi dan menyentuh mengenai dosa-dosa besar.
Pada malam ini saya mengambil dalam satu bab iaitu berkaitan dengan solat. Satu peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Musa a.s. Sebelum pergi lebih jauh, ingin saya nyatakan di sini bahawa riwayat Israeliyah ataupun kisah-kisah yang diceritakan oleh ahli kitab tidak boleh digunakan untuk berhujah ataupun menguatkan hujah berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w:
لتصدكوه ولتكذبوه
“Jangan sekali-kali kamu membenarkan cerita dari Bani Israel dan jangan sekali-kali kamu membohonginya”.
Maknanya di sini kita hanya boleh mengambil kisah yang diceritakan tersebut sebagai pengajaran semata-mata, kita tidak boleh menerimanya mahupun menolaknya. Ini berlaku kerana Bani Israel telah menyeleweng kitab yang dianugerahkan kepada mereka dengan menukar isi kandungannya. Bagi kisah-kisah yang tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis maka umat Islam boleh mengambilnya sebagai pengajaran tetapi bagi kisah yang bercanggah dengan kedua-duanya maka hendaklah ditolak oleh umat Islam.
Dalam kisah tersebut diceritakan bahawa seorang wanita dari Bani Israel telah bertemu dengan Nabi Musa a.s seraya berkata “ya Rasulullah, sesungguhnya aku telah berdosa besar tetapi aku telah bertaubat kepada Allah, semoga Allah mengampuni dosaku dan menerima taubatku”. Lalu Nabi Musa bertanya “apakah dosamu itu”.
Lalu dijawab oleh wanita “ya Rasulullah, sesungguhnya aku telah berzina dan melahirkan seorang anak yang telah aku bunuh. Lalu Nabi Musa menjawab “pergilah engkau sekarang hai wanita yang berdosa, yang berzina, supaya tidak turun api dari langit yang akan membakar kamu disebabkan oleh kelakuan kamu yang buruk itu”.
Maka keluarlah wanita itu dari hadapan Nabi Musa dalam keadaan bersedih hati. Lalu Malaikat Jibril turun sambil menyatakan “ya Musa, Allah s.w.t telah menyampaikan firman-Nya kepadaku mengapakah engkau menolak taubat wanita itu ya Musa, bukankah engkau akan mendapati orang yang lebih jahat dari wanita itu. Nabi Musa bertanya “ya Jibril, siapakah orang yang lebih jahat dari wanita tersebut?. Lalu Jibril menjawab “iaitu orang yang meninggal sembahyang dengan sengaja”.
Dalam kisah yang lain, berlaku pada zaman salaful soleh iaitu zaman 100 tahun selepas kewafatan Nabi s.a.w. Peristiwa ini juga ada disebut di dalam Sahih Al-Bukhari dan disebut oleh Imam Ibnu Kathir. Seorang perempuan meninggal dunia dan jenazahnya diuruskan oleh adik lelakinya. Selepas dia menimbus kubur kakaknya dan dalam perjalanan pulang, dia mendapati dompetnya hilang. Lelaki ini yakin bahawa dompetnya telah terjatuh di dalam kubur kakaknya.
Selepas berfikir panjang dia membuat keputusan seorang diri untuk menggali semula kubur kakaknya untuk mengambil dompet tersebut. Satu riwayat menyatakan bahawa, ketika sampai di kubur, lelaki itu mendapati bahawa kubur kakaknya berasap lalu dia timbus kubur tersebut dengan pasir dan satu riwayat lagi menyatakan bahawa setelah dia mengali separuh dari kubur tersebut didapati kubur itu seolah-olah meletup dan keluar daripadanya api yang banyak.
Lalu lelaki tersebut berlari pulang ke rumah dan bertanya kepada ibunya apakah amalan yang dilakukan oleh kakaknya sehingga kuburnya mengeluarkan api sebegitu rupa. Ibunya menceritakan bahawa ketika hidup, kakaknya ini suka melengah-lengahkan solat sehinggakan dia diazab oleh Allah di dalam kubur.
Al-Imam Dzahabi menyebutkan bahawa orang yang melengahkan solat ini akan menjadikan kuburnya salah satu lubang dari lubang-lubang api neraka. Bagaimanakah pula bagi orang yang langsung tidak menunaikan solat yang diwajibkan oleh Allah s.w.t ini.
Malam ni saya mengambil masa yang panjang sedikit berbanding malam-malam yang sebelumnya dalam menghuraikan hadis ini, sampai tak sedar, sedap duk hurai, kalau sape-sape yang rasa terkena malam ni, saya minta maaf banyak-banyak dan sepatutnya anda bersyukur sebab anda masih terasa dengan apa yang saya katakan. Sekurang-kurangnya dalam diri anda masih mempunyai iman dan diri anda masih boleh diperbaiki. Pupuklah iman itu agar ia tidak hilang dari diri anda. Jika ia hilang, pasti tiada gunanya lagi anda menganut agama Islam.