فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنْبِهِ فَمِنْهُمْ مَنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُمْ مَنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُمْ مَنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُمْ مَنْ أَغْرَقْنَا وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
Apabila datang sesuatu musibah maka ia tidak akan memilih manusia, semua manusia akan ditimpa olehnya tetapi mereka akan di bezakan di padang mahsyar nanti. Sama ada kamu baik atau jahat sekalipun semuanya tidak akan terlepas dengannya.
Begitulah perkara yang akan berlaku jika sekiranya kita melupakan pencipta kita sendiri. Bukan disebabkan Allah itu zalim tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri. Kita lupa setiap hari kita diberi kenikmatan oleh Allah daripada kita bangun tidur hari ini sehingga kita bangun kembali pada keesokan harinya.
Namun manusia lupa, mereka lupa kepada nikmat ini sehingga mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang dilarang dan ditegah oleh Allah s.w.t. Saya menyifatkan perbuatan ini sebagai tidak mengenang budi. Jika kita dibantu oleh rakan kita dengan pelbagai bantuan yang boleh menyenangkan hidup kita tetapi kita tidak sesekali menghargainya bahkan kita mengutuk dan memfitnah rakan kita tersebut sehingga boleh mengaibkan dirinya. Sudah semestinya orang sebegini tidak layak dibantu.
Begitu juga manusia jika sekiranya mereka lupa kepada Allah s.w.t. yang mencipta diri mereka dan yang memberikan pelbagai nikmat kepada mereka sehingga 20, 30, 60 bahkan ada yang telah lebih 90 tahun menerima nikmat Allah tetapi malangnya mereka masih lupa kepada Allah. Tidak hairanlah jika mereka ditimpa azab daripada Allah sejak berada di dunia lagi.
Allah taala sedikit pun tidak bergantung pada manusia untuk menyembah-Nya. Bahkan jika ditakdirkan seluruh manusia di dunia ini kafir sekalipun, perkara ini tidak akan menjejaskan Allah s.w.t serta tidak akan mengurangkan walau sedikit pun kekuasaan-Nya. Tetapi ini adalah peraturan untuk hidup di dunia ini. Allah ingin melihat sejauh mana manusia ini akan patuh kepada arahan serta suruhan-Nya. Allah juga boleh memasukkan semua manusia ke dalam syurga jika itu yang dimahukan-Nya. Semuanya tidak menjadi masalah kepada Allah.
Fenomena yang melanda bumi pada hari ini amat membimbangkan, terbaharu pada 19 Mac 2011 bersamaan 15 Rabiul Akhir 1432H para saintis dunia dan pakar astronomy meramalkan bulan berada paling hampir dengan bumi. Fenomena ini berlaku selepas 18 tahun berlalu.
Walaupun ini adalah fenomena biasa namun selepas daripada kejadian ini saintis juga meramalkan keadaan cuaca dunia tidak akan menentu atau sukar untuk diramalkan. Malah mereka juga meramalkan bahawa dunia ini akan berlaku ribut taufan, gempa bumi, letupan gunung berapi di daratan dan di lautan serta pelbagai kejadian lagi yang sukar untuk diramal.
Ibnu Abbas menyatakan jika sekiranya seseorang itu melakukan kemaksiatan kepada Allah, bala yang akan menimpa akan ditanggung oleh dirinya sendiri tanpa membabitkan orang lain. Tetapi, jika pemimpin yang melakukannya maka kamu akan melihat seluruh manusia akan menanggung akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh para pemimpin mereka itu. Dan firman Allah s.w.t:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
Mudah-mudahan kita mengambil pengiktibaran daripada perkara yang berlaku di atas muka bumi pada hari ini sebagai amaran daripada Allah kepada manusia supaya mereka kembali kepada perkara yang diperintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Moga-moga kita beroleh petunjuk dan rahmat daripada Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment