Wednesday, March 23, 2011

Program di PDK Kangar



[Kemaskini] Alhamdulillah, hari ini diberi kesempatan oleh Allah s.w.t mengikuti tiga program daripada pagi sehingga malam. Program pertama yang saya hadiri ialah program yang dijalankan untuk kanak-kanak istimewa di PDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) Kangar, Perlis.

Program yang dijalankan untuk memberi ruang kepada kanak-kanak ini mengenali masyarakat luar kerana selama ini mereka hanya berada di dalam kelas dengan guru-guru mereka sahaja. Guru-guru yang begitu penyabar untuk melayan kerenah anak-anak ini.

 

Sehingga hari ini, mereka yang berada di PDK ini hanya bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Masyarakat (JKM) semata-mata. Sampai pada satu peringkat mereka terpaksa menyewa tempat yang ada pada hari ini dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM 500 sebulan. 


 Tiada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan yang sanggup membantu mereka dan sehingga kini mereka telah berpindah tempat sebanyak tiga kali. Ke manakah badan-badan yang selama ini mereka menguar-uarkan mengenai kebajikan yang mereka lakukan. 


Anak-anak yang istimewa ini dibiarkan tanpa sesiapa yang membantu mereka sedangkan anak-anak yang pintar dan cerdik diberi inisiatif yang menarik. Adakah terdapat “double standart” di sini? 



Pertama kali saya sampai di rumah itu, saya melihat pelbagai ragam kanak-kanak, ada yang suka menyendiri, yang suka bermain, suka mengganggu rakan-rakan yang lain dan sampai pada peringkat yang sanggup mencederakan diri sendiri.


Kanak-kanak yang suka menyendiri ini akan berada berseorangan di bucu-bucu bangunan dan melakukan aktiviti-aktiviti sendiri. Ada seorang kanak-kanak yang daripada kami sampai sehinggalah balik, kanak-kanak ini hanya duduk dan meletakkan mukanya di atas lutut.


Bagi kanak-kanak yang “hyperactive” pula mereka ini terpaksa diletakkan di atas sebuah kerusi dan diikatnya pada kerusi tersebut kerana menurut guru-guru di situ jika dibiarkan kanak-kanak ini akan menghantuk kepalanya ke dinding ataupun lantai sehingga berdarah.


Terdapat juga kanak-kanak yang bisu yang ditinggalkan di rumah ini oleh ibu bapa mereka dan kebetulan sewaktu program ini dijalankan, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak ini turut berada di rumah ini. Kedua-duanya juga bisu seperti anak mereka.


Cukup-cukup sedih melihat kanak-kanak ini tetapi apakan daya ini merupakan anugerah tuhan kepada kita terutamanya kepada kedua ibu bapa mereka. Allah memberikan cubaan dan dugaan kepada mereka dengan mengurniakan anak-anak yang istimewa ini. 


Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang istimewa ini, sayangilah anak anda, mereka amat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada keluarga mereka sendiri. Mudah-mudahan berkat kesabaran anda melayan kerenah anak-anak istimewa ini menjadikan ianya sebagai tiket untuk anda berada di dalam syurga yang dijanjikan oleh Allah kelak. Insya-Allah. 
  

       

No comments:

Post a Comment