Seorang Muslim tua di Amerika bertahun hidupnya di suatu ladang di kawasan pergunungan sebelah Timur negara tersebut iaitu Kentucky dengan cucu lelakinya yang masih muda. Setiap pagi lelaki tua itu bangun lebih awal dan membaca al-Quran di meja makan di dapurnya. Cucu lelakinya ingin sekali menjadi seperti datuknya itu dan cuba untuk menirunya dalam cara apa pun semampunya.
Suatu hari cucunya bertanya, "Datuk! Aku cuba untuk membaca al-Quran seperti yang engkau lakukan tetapi aku tidak memahaminya, dan apa yang aku fahami aku lupakan secepat aku menutup buku. Apakah kebaikan dari membaca al-Quran?"
Dengan tenang orang tua itu meletakkan arang batu di dasar bakul, memutar sambil membuat lubang pada bakul tersebut sambil menjawab, "Bawa bakul arang batu ini ke sungai dan bawa ke mari semula dengan dipenuhi air."
Maka cucunya itu melakukan seperti yang diperintahkan atuknya, tetapi semua air habis menitis sebelum tiba di depan rumahnya.
Lelaki tua itu tertawa dan berkata, "Lain kali kamu harus melakukannya dengan lebih cepat lagi."
Maka dia menyuruh cucunya kembali ke sungai dengan bakul tersebut untuk dicuba lagi. Cucunya berlari lebih cepat, tetapi tetap juga gagal. Dengan termengah-mengah dia berkata kepada datuknya bahawa mustahil membawa air dari sungai dengan bakul yang sudah bocor. Maka cucunya mengambil baldi sebagai gantinya.
Lelaki tua itu lalu berkata, "Aku tidak mahu baldi itu; aku hanya mahu bakul arang batu itu. Ayuhlah, usaha kamu masih belum mencukupi."
Maka lelaki tua itu pergi ke luar pintu untuk mengamati usaha cucu lelakinya itu. Cucunya yakin bahawa perkara itu mustahil untuk dilakukan tetapi dia tetap ingin menunjukkan kepada datuknya bahawa sekalipun dia berlari secepat-cepatnya, air tetap akan bocor dan keluar sebelum dia sampai ke rumah.
Sekali lagi si cucu mengambil air di dalam sungai dan berlari sekuat tenaga menghampiri datuknya. Akan tetapi ketika dia sampai di depan datuknya, bakul tersebut sudah kosong lagi. Sambil termengah-mengah dia berkata, "Lihat tok, sia-sia sahaja!"
"Jadi kamu fikir ia suatu yang sia-sia?"Tanya lelaki tua itu sebaik mendengar kata-kata cucunya.
Lelaki tua itu berkata lagi, "Lihatlah bakulnya."
Si cucu menurut, lalu dia melihat ke dalam bakulnya dan untuk pertama kalinya dia menyedari bahawa bakul itu sekarang berbeza. Bakul itu telah berubah dari keranjang arang batu yang kotor menjadi keranjang yang bersih luar dan dalam.
"Cucuku, perkara seperti itulah yang terjadi ketika kamu membaca al-Quran. Kamu tidak dapat memahami atau ingat segalanya, tetapi ketika kamu membacanya lagi, kamu akan berubah, luar dan dalam. Itu adalah kurniaan Allah dalam hidup kita."
No comments:
Post a Comment