: Firman Allah s.w.t
كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةًۭ ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan
Begitulah hidup kita, pengakhirannya adalah kematian. Walau macam mana kaya pun kita atau mempunyai pangkat yang tinggi, malaikat maut tetap akan mengunjungi kita untuk diambil nyawa.
Sama ada kita redha atau tidak malaikat itu tetap akan menjalankan tugas yang diberikan oleh Allah kepadanya. Saya tidak mahu mengulas panjang dalam bab ini, mungkin lain kali saya boleh ulas mengenainya.
Pada hari Selasa lepas saya sempat menghadiri kursus pengurusan jenazah yang di kendalikan oleh Al-fadhil Ustaz Zubir sebagai penceramah dan Ustaz Abu Kasim bagi sesi praktikal.
Saya melihat suasana yang menimpa umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia, golongan muda sukar untuk mengikuti program-program yang berkaitan dengan keagamaan sehinggakan apabila sesuatu perkara menimpa pada diri dan keluarga mereka, mereka tidak tahu untuk menyelesaikannya.
Saya mengambil contoh apabila berlaku kematian, biasanya anak-anak akan mengharapkan kepada orang lain untuk menguruskan jenazah ibu atau bapa mereka sedangkan sebagai anak mereka adalah orang yang utama untuk menguruskan jenazah tersebut sebagai bakti terakhir yang akan diberikan kepada ibu bapa mereka. Tetapi sebaliknya berlaku.
Jenazah diuruskan oleh pihak lain sedangkan anak-anak duduk di luar rumah bersembang dengan tetamu yang datang menziarah. Inilah yang menjadi masalah kepada anak-anak muda pada hari ini. Semua orang yang menguruskan jenazah tersebut merupakan golongan yang telah tua, jika mereka ini ditakdirkan oleh Allah meninggal dunia siapakah yang akan menguruskan jenazah selepas daripada ini. Anak-anak muda yang ada tidak pernah mempelajarinya sebelum daripada ini.
Apakah akan berlaku selepas daripada ini? Bangunlah anak-anak muda dari mimpi, pelajarilah perkara-perkara yang berkaitan dengan agama nescaya kamu akan selamat dunia dan akhirat. Gunakanlah kepemudaan yang Allah kurniakan ini dengan sebaik-baiknya dan jangan sampai kita menyesal suatu hari nanti.









No comments:
Post a Comment