Thursday, March 31, 2011

Saat-Saat Berlakunya Kiamat 3


3. Turunnya Isa bin Maryam

Nabi Isa adalah nabi kedua terakhir yang diutuskan Allah. Nabi Isa telah dinaikkan ke langit dan hidup dengan aman hingga sekarang setelah cubaan membunuh oleh kaumnya. Waktu Dajjal berleluasa pada akhir zaman, Nabi Isa akan turun dan membunuhnya serta memimpin umat Nabi Muhammad ke jalan yang benar dan akan dihapuskan segala agama selain Islam. Dunia ketika itu akan aman sehingga anak perempuan boleh bermain dengan harimau.

Turunnya Nabi Isa diriwayatkan bahawa beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di Timur Damsyik dengan memakai pakaian kuning pada waktu fajar. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua Malaikat. Kulitnya putih kemerah-merahan dan terdapat nur di wajahnya. Beliau akan menghancurkan salib-salib, membunuh semua babi, menghapuskan cukai dan tidak membayar zakat kerana waktu itu tiada seorang pun yang berhak menerimanya. Tiada lagi cemburu, dengki , marah-memarahi antara satu sama lain, dunia berjalan dengan aman dan lancar.

Bumi akan mengeluarkan cahaya dan menumbuhkan tumbuhan sama seperti zaman Nabi Adam dan ramai orang memetiknya dan makan sehingga kenyang. Nabi Isa akan memimpin dunia dengan aman selama 40 tahun sebelum kewafatan beliau di Madinah. Beliau disembahyangkan oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan makam Rasulullah SAW. Yakjuj Makjuj iaitu kaum yang amat ditakuti manusia juga akan muncul pada zaman Nabi Isa ini.

4. Keluarnya Yakjuj & Makjuj

Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum yang telah hidup lama di sebalik dua gunung dari zaman Nabi Ibrahim hinggalah sekarang dan mereka suka berbuat kerosakan di muka bumi dan menyusahkan dan mengganggu manusia. Masyarakat waktu itu tidak tahan dengan Yakjuj Makjuj lalu meminta Raja Zulqarnain iaitu pemimpin yang agung untuk membuat benteng menahan Yakjuj Makjuj dari keluar dari sebalik gunung tersebut. Lalu mereka bekerjasama membuat benteng yang tingginya sama tinggi seperti dua puncak gunung itu. Di situlah Yakjuj Makuj terkurung sehingga Kiamat nanti.

Telah tiba masanya lalu dengan izin Allah maka hancurlah dinding yang menahan kaum Yakjuj Makjuj dari melihat dunia selama ini. Mereka pun turun dari celahan gunung itu dengan lajunya seperti empangan yang pecah mengeluarkan airnya. Lalu Yakjuj Makjuj meminum dan memakan apa sahaja yang mereka jumpai sehingga kering air sungai dan perigi. Manusia ketika itu semuanya ketakutan dan bersembunyi, mereka memohon agar Nabi Isa menghancurkan Yakjuj dan Makjuj. Maka berdoalah Isa ke hadrat Allah dan berkat doanya, lalu Allah mengirimkan ulat kepada Yakjuj Makjuj dan mereka mati kesemuanya.


Bersambung...

Tuesday, March 29, 2011

Saat-Saat Berlakunya Kiamat 2

2. Munculnya Al-Masih Dajjal

Mengapa dia digelar Al-Masih? Nama Al-Masih diberi kerana buruknya rupa dan bentuk tubuh Dajjal dan dia diciptakan sebagai makhluk yang dilaknat kerana ia kufur dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Al-Masih juga diberi kepada Dajjal kerana terhapus atau hilang mata sebelahnya. Kekuasaannya mencakup seluruh daratan dan lautan dan dia boleh menahan sungai daripada mengalir. Di antara kedua matanya tertulis kalimat KAFIR dan ia dapat dibaca oleh setiap mukmin sama ada pandai membaca atau tidak. Dia akan hidup di bumi selama 40 tahun.

Pada akhir zaman nanti kemarau panjang akan berlaku, hujan tidak turun dengan lamanya, tumbuhan tidak tumbuh dan dunia semakin kering kontang, sementara manusia dalam kelaparan, kehausan dan banyak penyakit melanda. Ketika itulah akan munculnya Al-Masih Dajjal dengan hebatnya. Dia memerintahkan langit menurunkan hujan dan dia menyuruh bumi mengeluarkan tumbuhan, dan ia benar-benar berlaku. Kemudian dia menyuruh sungai supaya mengalir membasahi kekeringan bumi.

Dajjal menunjukkan kehebatannya dalam mengubati pelbagai penyakit, bahkan dia boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Dia berpura-pura mengajak manusia kepada pendamaian dan kemudian banyaklah pengikutnya. Dalam keadaaan demikian, maka Dajjal mengaku dirinya sebagai nabi Allah dan ramai percaya terhadapnya. Akhir sekali dia akan mengaku dirinya sebagai tuhan bahkan dia mempunyai syurga dan neraka.

Dajjal berkata, “Akulah tuhan semesta alam dan aku sanggup menghidupkan dan mematikan”. Tiba-tiba ada seorang mukmin membantahnya dan Dajjal terus membelahnya kepada dua bahagian. Kemudian Dajjal menyeru kepada tubuh mukmin itu, “Berdiri engkau”, lalu ia pun berdiri dan Dajjal bertanya lagi, “Percayakah engkau aku ini tuhan sekalian alam?”, orang mukmin itu menjawab, “Tidak, engkau masih Al-Masih pembohong”, lalu mukmin itu dicampakkan ke neraka milik Dajjal.

Orang-orang yang percaya pada Dajjal kemudian mengikutinya setelah melihat sendiri penipuan yang berlaku. Begitulah ramai yang akan kufur pada Allah dan beriman kepada Dajjal. Dajjal akan dibantu oleh syaitan dan jin dalam melakukan segalanya termasuk harta kekayaan. Mereka akan membantu Dajjal sama seperti mereka membantu Nabi Sulaiman satu ketika dahulu. Namun Dajjal tidak dapat memasuki kota Mekah dan Madinah kerana keduanya dijaga oleh Malaikat.

Bilangan orang-orang mukmin semakin sedikit lalu mereka lari ke puncak Bukit Dukhan untuk menyelamatkan diri dari Dajjal serta pengikutnya yang terdiri dari bani Iblis dan Bani Adam yang ramai dan akhirnya mereka dikepung di sana. Mereka ketakutan dan kelaparan berikutan tiada makan dan minuman di sana dan hanya mampu berdoa, berzikir, bertasbih dan bertahmid dengan kuat meminta pertolongan Allah. Tentera Dajjal tak dapat mendekati mereka kerana bacaan yang kuat itu.

Berbulan-bulan mereka terperangkap di atas bukit dan tiba-tiba langit menjadi gelap-gelita sehingga telapak tangan pun tak dapat dilihat depan mata. Kemudian mereka mendengar satu seruan dari langit, “Telah datang kepada kamu pertolongan!”. Tatkala itu bumi disinari nur dari langit dan turunlah Isa bin Maryam dan tangannya pada sayap dua Malaikat. Dajjal yang mengetahui kedatangan Nabi Isa kemudian terus pucat dan menyuruh pengikutnya mengerjakan solat. Ketika Nabi Isa mendatangi Dajjal, lalu Dajjal sambil ketakutan berkata, “Wahai nabi Allah, kami baru sahaja mengerjakan solat”. Isa AS berkata, “Wahai musuh Allah, engkau mengaku sebagai tuhan sekalian alam, untuk siapa kau solat dan mengabdi?” Lalu tamatlah riwayat Dajjal dibunuh oleh Nabi Isa di Babu Luddi Palestin.


Bersambung...

Monday, March 28, 2011

Saat-Saat Berlakunya Kiamat

Hari Kiamat adalah hari di mana akan musnahlah segala yang tercipta dan akan binasalah segala makhluk yang pernah hidup di alam ini. Tahukah anda bahawa Kiamat akan berlaku pada hari Jumaat? Jadi mari kita selami dan baca kisah di mana peristiwa-peristiwa (besar) yang akan berlaku sebelum munculnya Kiamat.

1. Munculnya Imam Mahdi

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang terakhir diutuskan dan Imam Mahdi pula adalah imam yang terakhir dan tiada lagi imam sesudahnya. Imam Mahdi adalah dari keturunan Hasan, yakni anak kepada Fatimah dan Ali bin Abi Talib. Ali pernah melihat Hasan sambil berkata: “Anakku ini akan menjadi pemimpin seperti dijanjikan Rasulullah dan nanti juga akan keluar dari keturunannya seorang lelaki yang namanya, kelakuannya sama seperti dengan nama nabi kamu, namun bentuk tubuhnya tidak sama”. Kemudian Ali menceritakan keadaan Imam Mahdi yang memimpin dunia secara adil dan bijaksana.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Akan keluarlah manusia dari sebelah timur, lalu mereka pergi menemui Mahdi, yakni untuk mengikuti pemerintahannya”. Imam Mahdi yang dijanjikan akan datang di akhir zaman itu dikatakan akan muncul dari timur dan mereka akan melantiknya di Mekah. Beliau akan memimpin dunia selama lima, tujuh atau sembilan tahun dan pada zamannya nanti ajaran Islam dapat ditegakkan, musuh-musuh Islam takut akannya, pemerintahannya tiada cacat cela, tiada kezaliman dan kebaikan berkekalan. Beliau menguasai dunia seperti Nabi Allah Sulaiman a.s.
 

Bersambung...


Sunday, March 27, 2011

Bersama Pelajar

Semalam saya diminta untuk menyampaikan kuliah maghrib kepada pelajar sekolah agama yang mengadakan program di sini. Walaupun ditolak namun diminta juga untuk menyampaikannya kerana ketiadaan tenaga untuk memberikan kuliah tersebut. 

Saya bercakap mengenai akibat daripada perbuatan maksiat yang dilakukan. Kesannya kepada diri yang saya petik daripada kitab Penyakit dan Penawarnya  karya Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah. 

Terasa kerdil diri ini apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar sekolah agama, tidak selayaknya saya berada di hadapan mereka tetapi apakan daya dah terpaksa.

Walaupun pada malam Khamis sebelum itu saya telah bercakap di hadapan mereka untuk memberi tazkirah selepas bacaan yassin dan pada paginya saya sekali lagi bersama mereka untuk qiamullail dan solat subuh berjemaah. 

Tazkirah pada malam tersebut disampaikan dalam keadaan saya tidak bersedia. Tiba-tiba saja pihak majlis menjemput saya untuk menyampaikan  tazkirah. Tak tahu apa nak cakap, bantai jelah mana yang terlintas difikiran. Hehe…

Saya sebenarnya tidak berapa pandai untuk berhadapan dengan pelajar sekolah kerana cara kita menyampaikan tidak boleh sama seperti kita sampaikan kepada golongan dewasa. Mereka ini berbeza. Jika kita sampaikan menggunakan kaedah yang sama seperti apa yang kita gunakan untuk golongan dewasa mungkin mereka akan merasa bosan. 

Walaupun kadang-kadang diselitkan juga jenaka ketika menyampaikan tazkirah kepada golongan dewasa tetapi bagi pelajar sekolah mereka mesti ditarik perhatian mereka lebih sedikit daripada golongan dewasa.

Saya memang tidak pandai dalam bab ini. Tapi Alhamdulillah, dapat juga saya sampaikan dan pelajar pun nampaknya memberi perhatian dengan apa yang saya sampaikan. Secara zahirnyalah, batinnya saya tidak tahu sama ada mereka bersama-sama saya atau berjalan ke tempat lain.  
  

Thursday, March 24, 2011

Pengurusan Jenazah


: Firman Allah s.w.t 

 كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلْخَيْرِ فِتْنَةًۭ ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan

Begitulah hidup kita, pengakhirannya adalah kematian. Walau macam mana kaya pun kita atau mempunyai pangkat yang tinggi, malaikat maut tetap akan mengunjungi kita untuk diambil nyawa.

Sama ada kita redha atau tidak malaikat itu tetap akan menjalankan tugas yang diberikan oleh Allah kepadanya. Saya tidak mahu mengulas panjang dalam bab ini, mungkin lain kali saya boleh ulas mengenainya.

Pada hari Selasa lepas saya sempat menghadiri kursus pengurusan jenazah yang di kendalikan oleh Al-fadhil Ustaz Zubir sebagai penceramah dan Ustaz Abu Kasim bagi sesi praktikal.

Saya melihat suasana yang menimpa umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia, golongan muda sukar untuk mengikuti program-program yang berkaitan dengan keagamaan sehinggakan apabila sesuatu perkara menimpa pada diri dan keluarga mereka, mereka tidak tahu untuk menyelesaikannya.

Saya mengambil contoh apabila berlaku kematian, biasanya anak-anak akan mengharapkan kepada orang lain untuk menguruskan jenazah ibu atau bapa mereka sedangkan sebagai anak mereka adalah orang yang utama untuk menguruskan jenazah tersebut sebagai bakti terakhir yang akan diberikan kepada ibu bapa mereka. Tetapi sebaliknya berlaku. 

Jenazah diuruskan oleh pihak lain sedangkan anak-anak duduk di luar rumah bersembang dengan tetamu yang datang menziarah. Inilah yang menjadi masalah kepada anak-anak muda pada hari ini. Semua orang yang menguruskan jenazah tersebut merupakan golongan yang telah tua, jika mereka ini ditakdirkan oleh Allah meninggal dunia siapakah yang akan  menguruskan jenazah selepas daripada ini. Anak-anak muda yang ada tidak pernah mempelajarinya sebelum daripada  ini. 

Apakah akan berlaku selepas daripada ini? Bangunlah anak-anak muda dari mimpi, pelajarilah perkara-perkara yang berkaitan dengan agama nescaya kamu akan selamat dunia dan akhirat. Gunakanlah kepemudaan yang Allah kurniakan ini dengan sebaik-baiknya dan jangan sampai kita menyesal suatu hari nanti.      









Wednesday, March 23, 2011

Program di PDK Kangar



[Kemaskini] Alhamdulillah, hari ini diberi kesempatan oleh Allah s.w.t mengikuti tiga program daripada pagi sehingga malam. Program pertama yang saya hadiri ialah program yang dijalankan untuk kanak-kanak istimewa di PDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) Kangar, Perlis.

Program yang dijalankan untuk memberi ruang kepada kanak-kanak ini mengenali masyarakat luar kerana selama ini mereka hanya berada di dalam kelas dengan guru-guru mereka sahaja. Guru-guru yang begitu penyabar untuk melayan kerenah anak-anak ini.

 

Sehingga hari ini, mereka yang berada di PDK ini hanya bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Perkhidmatan Masyarakat (JKM) semata-mata. Sampai pada satu peringkat mereka terpaksa menyewa tempat yang ada pada hari ini dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM 500 sebulan. 


 Tiada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan yang sanggup membantu mereka dan sehingga kini mereka telah berpindah tempat sebanyak tiga kali. Ke manakah badan-badan yang selama ini mereka menguar-uarkan mengenai kebajikan yang mereka lakukan. 


Anak-anak yang istimewa ini dibiarkan tanpa sesiapa yang membantu mereka sedangkan anak-anak yang pintar dan cerdik diberi inisiatif yang menarik. Adakah terdapat “double standart” di sini? 



Pertama kali saya sampai di rumah itu, saya melihat pelbagai ragam kanak-kanak, ada yang suka menyendiri, yang suka bermain, suka mengganggu rakan-rakan yang lain dan sampai pada peringkat yang sanggup mencederakan diri sendiri.


Kanak-kanak yang suka menyendiri ini akan berada berseorangan di bucu-bucu bangunan dan melakukan aktiviti-aktiviti sendiri. Ada seorang kanak-kanak yang daripada kami sampai sehinggalah balik, kanak-kanak ini hanya duduk dan meletakkan mukanya di atas lutut.


Bagi kanak-kanak yang “hyperactive” pula mereka ini terpaksa diletakkan di atas sebuah kerusi dan diikatnya pada kerusi tersebut kerana menurut guru-guru di situ jika dibiarkan kanak-kanak ini akan menghantuk kepalanya ke dinding ataupun lantai sehingga berdarah.


Terdapat juga kanak-kanak yang bisu yang ditinggalkan di rumah ini oleh ibu bapa mereka dan kebetulan sewaktu program ini dijalankan, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak ini turut berada di rumah ini. Kedua-duanya juga bisu seperti anak mereka.


Cukup-cukup sedih melihat kanak-kanak ini tetapi apakan daya ini merupakan anugerah tuhan kepada kita terutamanya kepada kedua ibu bapa mereka. Allah memberikan cubaan dan dugaan kepada mereka dengan mengurniakan anak-anak yang istimewa ini. 


Kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang istimewa ini, sayangilah anak anda, mereka amat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada keluarga mereka sendiri. Mudah-mudahan berkat kesabaran anda melayan kerenah anak-anak istimewa ini menjadikan ianya sebagai tiket untuk anda berada di dalam syurga yang dijanjikan oleh Allah kelak. Insya-Allah. 
  

       

Tuesday, March 22, 2011

Budaya Ber"Couple"

Malam ini dalam kelas pengantar psikologi, pensyarah ada sedikit menyebut mengenai  budaya berpasangan. Saya hanya ingin menulis perkara yang dinyatakan oleh pensyarah itu sebagai tambahan kepada tulisan saya sebelum ini. 

Beliau menyatakan bahawa hari ini budaya ber”couple” merupakan satu kemestian dan telah menjadi budaya, jika tiada pasangan mereka merasakan diri mereka hina. Sememangnya nafsu itu dianugerahkan oleh Allah s.w.t namun kita sebagai  manusia yang dikurniakan akal fikiran yang membezakan kita dengan binatang, kita  perlu pandai untuk meletakkan apa yang di anugerahkan oleh Allah itu di tempat yang betul.

Apa yang sebenarnya dicari semasa bercinta? Dan pensyarah itu juga ada menyatakan bahawa jika seseorang remaja tidak mempunyai teman istimewa ataupun kekasih maka itulah sebaik-baik remaja.   

Sunday, March 20, 2011

Cinta?



Semalam saya sempat mengikuti sedikit ceramah yang disampaikan oleh naib juara program realiti tv, Imam Muda, Ust Hizbur Rahman. Pengisian mengenai cinta. Seperti biasa program ini dihadiri oleh ramai peserta ditambah lagi dengan tajuknya yang berkisarkan kepada cinta (saya lupa tajuknya) sehinggakan saya terpaksa berada dalam bilik teknikal untuk mendengar ceramah tersebut. Saya hadir pada program itu untuk mendengar cara penyampaian yang dilakukan oleh Ust. Hizbur sahaja tetapi ambillah juga mana-mana point yang dirasakan perlu. 90% yang hadir adalah mahasiswi dan 10% sahaja mahasiswa yang hadir. Ini memang telah dijangka. 

Saya melihat pada hari ini budaya berpasangan sudah menjadi lumrah terutamanya golongan muda-mudi. Mereka merasakan jika mereka tidak lagi mempunyai pasangan maka tidak lengkap hidup mereka ataupun mereka akan malu dengan rakan sendiri yang hari-hari bercerita mengenai awek dan pakwe mereka, setiap malam akan “bergayut” dengan pasangan masing-masing. Mereka-mereka ini akan merasa terasing jika mereka juga tidak mempunyai teman sebagaimana rakan-rakan mereka.
 

Maka akan berlakulah perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku apabila seseorang itu mempunyai teman. Saya bukanlah anti kepada perkara ini namun sebagai umat Islam kita perlu peka dengan  setiap tindak tanduk kita supaya tidak dipandang serong oleh orang bukan Islam. Kadangkala saya malu melihat gelagat-gelagat orang yang bercinta ini. Seolah-olah akulah saja pasangan yang bercinta di atas dunai ini. Perbuatan yang amat memalukan bahkan lebih teruk daripada pasangan bukan Islam. 

Imam Ahmad mengatakan, Cintamu kepada sesuatu membutakanmu dan membuatmu tuli”. Mata hati akan buta melihat keburukan dan kekurangan orang yang dicintainya, sehingga matanya tidak mampu melihat perkara tersebut. Telinganya akan tuli mendengar celaan orang kepada orang yang dicintainya. Kebahagiaan itu menutup kekurangan dan aib. Tetapi jika telah tidak lagi bercinta selepas itu, semua yang selama ini cantik  dan baik di pandangan mata kini telah bertukar menjadi buruk dan jahat.


Jikalah kita dapat menyulam cinta yang bersemi itu dengan taqwa, maka saya yakin bahawa itu adalah cinta yang sebenar-benarnya. Setiap tindak tanduk kita dilapisi dengan keimanan nescaya cinta itu dapat dipupuk dengan baik dan lebih daripada itu akan mendapat redha daripada Allah. Apabila telah mendapat redha daripada Allah maka kita yang berada dalam cinta tersebut tidak perlu lagi bimbing akan kesetiaan pasangan masing-masing. 

Saya tertarik dengan cerita yang disampaikan oleh al-fadhil ustaz semalam, menunjukkan betapa jika cinta itu bersulam dengan taqwa dan keikhlasan, setiap perkara yang akan berlaku semuanya diterima dengan hati yang terbuka.

Pada suatu hari seorang lelaki telah bertemu dengan sebuah diari, apabila dibuka diari tersebut, tertulis di dalamnya nama pemilik diari tersebut iaitu Aisyah. Di dalam diari itu juga tertulis bahawa Aisyah ini sedang mencari seorang lelaki untuk dijadikan calon suami. Apabila membacanya lelaki ini tertarik dengan tulisan wanita tersebut dan dalam masa yang sama dia juga sedang mencari calon isteri.

Pada malam tersebut lelaki itu bangun bertahujjud kepada Allah dan melakukan solat sunat istiqarah. Dia berdoa kepada Allah jika sekiranya perempuan ini baik untuknya untuk dijadikan isteri maka bukakanlah pintu hatinya untuk menerima perempuan ini. Dengan izin Allah dia menghantar surat kepada Aisyah untuk berkawan. Apabila Aisyah menerima surat tersebut, tindakan sama juga dilakukan untuk memohon petunjuk daripada Allah.

Ringkas ceritanya setelah lama berkawan, akhirnya Aisyah mengajak lelaki ini untuk bertemu bersama dengan keluarganya dan lelaki ini bersetuju. Untuk pengetahuan lelaki ini sedang  belajar di luar negara. Aisyah serta keluarganya akan menjemput lelaki ini di lapangan terbang pada hari yang dijanjikan. Aisyah menyatakan kepada lelaki itu bahawa dia akan memegang sekuntum bunga ros berwarna merah semasa di lapangan terbang nanti supaya lelaki tersebut dapat mengenalinya. 

Apabila telah mendarat maka lelaki tadi mencari perempuan yang memegang bunga ros tersebut. Di satu sudut dia melihat seorang perempuan yang sedang memegang bunga ros. Perempuan tersebut berada di atas kerusi roda, berbadan gempal dan kulitnya sedikit gelap. Di dalam hati lelaki ini menyatakan jika sekiranya inilah jodoh aku yang Engkau tentukan ya Allah maka aku redha dan lantas dia pergi menyapa wanita tersebut. Lelaki tersebut memanggil nama wanita itu Aisyah. Wanita itu menjawab bahawa dia bukanlah Aisyah yang dicari oleh lelaki tersebut tetapi diminta untuk memegang bunga itu dan menyampaikan pesanan bahawa Aisyah dan keluarganya sedang menunggu lelaki itu di balai ketibaan.

Lalu lelaki itu pun pergi menuju ke balai ketibaan. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat wanita yang begitu cantik dan sempurna berada di hadapannya dan itulah Aisyah yang sebenar. Aisyah melakukan perkara tersebut kerana ingin melihat keikhlasan lelaki tersebut adakah dia dapat menerima jika terdapat kekurangan pada dirinya. Tetapi cinta yang bersulamkan taqwa dan keikhlasan kepada Allah tidak akan sesekali melihat kepada kekurangan seseorang. Jika itulah jodoh yang ditentukan maka akan diterimanya dengan hati yang terbuka. Mungkin di sebaliknya ada kebahagiaan yang menanti.

Begitulah kisahnya, yang menemukan dua orang manusia yang sebelum ini tidak pernah bertemu di antara satu sama lain tetapi mereka bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Kalaulah kita berada di tempat lelaki tersebut adakah kita akan pergi bertemu dengan perempuan itu ataupun lari mencari pintu belakang?
Carilah perempuan yang pandai menjaga kehormatan diri serta tahu batas-batas agama kerana inilah yang akan menyelamatkan kita daripada kita berada di dalam alam percintaan sehinggalah di alam perkahwinan kelak. Perempuan yang boleh menerima diri kita di kala senang atau susah. Bukan perempuan yang apabila senang dia datang kepada kita dan jika kita susah dia meninggalkan kita keseorangan. Dan carilah perempuan yang biasa hidup dalam kesusahan kerana perempuan yang biasa hidup dalam kesusahan ini boleh hidup dalam kesenangan tetapi perempuan yang biasa hidup dalam kesenangan belum tentu lagi dia boleh hidup di dalam kesusahan.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan jodoh yang terbaik kepada kita, bukan sahaja yang boleh menenteramkan hati kita tetapi yang sejuk mata memandang kerana firman Allah s.w.t:

ٱلْخَبِيثَٰتُ لِلْخَبِيثِينَ وَٱلْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَٰتِ ۖ وَٱلطَّيِّبَٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَٰتِ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ ۖ لَهُم مَّغْفِرَةٌۭ وَرِزْقٌۭ كَرِيمٌۭ

Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nur:26)
      

Saturday, March 19, 2011

Kisah Benar Untuk Renungan Bersama

Sebuah cerita yang diceritakan oleh seorang ahli bomba dari utara semenanjung. Ini cerita benar...

Satu hari beliau dan rakan-rakan telah menerima satu panggilan palsu berkenaan satu kemalangan yang telah berlaku di lebuh raya utara selatan. Oleh kerana untuk mengesahkannya maka beliau dan rakan-rakan telah ke tempat yang dikatakan oleh pemanggil namun tiada apa yang terjadi di sana. Dalam perjalanan pulang, waktu itu pukul satu pagi, hujan turun renyai-renyai.

Di satu persimpangan susur keluar dari lebuh raya, mereka ternampak sebuah mpv  mewah yang terbalik dan remuk sekali kerana melanggar divider yang tajam. Mereka segera turun dan melihat kemalangan itu dengan niat ingin menolong kiranya ada yang terselamat.

Tetapi apa yang mereka saksikan sungguh dahsyat dan menyayat hati. sesuatu yang tidak dapat digambarkan dahsyatnya.

Mereka jadi terkedu, tergamam, tiada sepatah perkataan pun yang dapat menggambarkan betapa dahsyatnya kejadian itu, semoga Allah melindungi kita semua dari kejadian yang seumpama ini.

Pemandu mpv mewah itu telah pun mati terkulai di kerusi pemandu kerana kecederaan parah di kepala.  Mpv  tersebut begitu remuk sehingga bumbungnya menghimpit kesemua pemandu dan penumpang di dalamnya.

Di bahagian belakang mpv mewah tersebut terdapat tiga susuk tubuh manusia. Seorang wanita dalam empat puluhan dan dua lelaki dalam dua puluhan. Tidak terdapat seurat benang pun pada tubuh mereka. Bogel sebogel-bogelnya. Wanita dan salah seorang lelaki itu dalam keadaan berpelukan kepala mereka pecah, darah menyembur di merata tempat,
tulang rusuk mereka hancur dan tikam menikam antara satu sama lain, dahsyat sekali. tulang punggung wanita itu pula hancur.

Lebih dahsyat lagi dengan jelasnya mereka lihat zakar lelaki itu masih di dalam kemaluan wanita itu. Langsung mereka tidak dapat dipisahkan. Lelaki yang seorang lagi sedang dalam nazak dengan kecederaan parah di kepala, dan sayup-sayup kedengaran suaranya memanggil.. mummy.... mummy.... mummy...... Tangan pemuda yang melekat pada perempuan itu masih memegang zakar lelaki yang nazak itu.

Ahli bomba itu terduduk. tidak pernah dalam hidupnya terbayang akan boleh terjumpa keadaan seperti ini. Dengan semangat dari kawan-kawan, beliau segera bangun dan mengambil gergaji besi untuk memotong kenderaan yang remuk itu. Mereka mesti melakukannya secepat mungkin, sebelum kejadian yang memalukan itu dilihat oleh orang ramai.

Dalam kegelapan malam itu mereka bertungkus lumus membuat apa yang patut. Dalam kesibukan bekerja tiba-tiba bulu roma ahli bomba itu meremang naik, badan nya menjadi seram sejuk dan dada berdebar kencang. Sambil bekerja, dengan jelas dari sudut mata beliau kelibat satu makhluk hitam yang sungguh besar memegang pedang,
dengan muka yang sungguh bengis dan berang, nafasnya mendengus radang, mundar mandir dan mengelilingi kawasan kemalangan dengan gaya orang yang tersangat marah.

Dalam hati ahli bomba itu berkata, “Ya Allah, besarnya kekuasaan mu, mungkin inilah dia malaikat maut yang dikatakan itu".

Mereka mengeluarkan mayat-mayat tersebut satu persatu kecuali mayat wanita dan lelaki yang tidak dapat dipisahkan itu. Pada leher wanita tersebut terkalung tasbih yang memancar apabila terkena cahaya. ahli bomba itu melihat dengan jelas terdapat ukiran salib pada setiap butiran tasbih tersebut akibat pancaran cahaya bulan.

Astaghfirullah hal azim!!, masya-Allah!! apakah yang telah terjadi???

Selepas memeriksa dokumen pengenalan diri mayat2 tersebut, jelaslah bahawa wanita itu adalah ibu kepada kedua lelaki tersebut. Agama yang tertera dalamnya ialah Islam dan nama-nama mereka didahului dengan Mohd dan Nur.........

Beginilah akibatnya orang yang telah melampaui batas melepasi garisan yang telah di tetapkan oleh Allah. Balasan Allah terlalu pantas sehingga kita tidak sedar ianya datang. Begitu juga orang yang menyebarkan dosa dan maksiat insan lain.

Apa yang akan terjadi jika orang lain terpengaruh dengan apa yang dilihat? Mereka akan melakukan kemungkaran hasil pengaruh kita. Selagi mereka melakukannya selagi itu kita mendapat bahagian dari kemungkarannya itu.

Apakah akan terjadi jika mereka melahirkan anak luar nikah? itulah tanggungan kita hinggalah ke akhir hayat mereka dan cucu cicit mereka.

Akan datang apabila kita telah berumur, janganlah kita tanya mengapa musibah terjadi kepada kita, mengapa anakku cacat? Mengapa aku, anakku, cucuku kena kanser? mengapa berlaku kemalangan yang dahsyat hingga mencacatkan aku, anakku dan ahli keluarga ku?

Mengapa aku di tipu?, mengapa aku, anakku, ahli keluargaku dirompak, dirogol, dicederakan, mengapa ahli keluargaku melakukan jenayah, di penjara dan dihukum?

Sesungguhnya Allah itu maha adil. Dia akan membalas setiap apa yang kita lakukan secara sedar atau tidak. Bertaubat dan kembalilah ke jalan yang diredai. Membuat dosa adalah fitrah manusia.

Allah akan mengampunkan dosa kita kepada-Nya walaupun sebesar mana sekalipun. Tetapi berbangga dengan dosa yang kita lakukan dan mempengaruhi manusia lain untuk sama membuat dosa adalah seburuk-buruk dosa dan hutang dosa ini bertambah selagi manusia yang kita pengaruhi itu terus menerus melakukan dosa tersebut akibat daripada pengaruh kita.