Tuesday, September 7, 2010

Renungan Diri

Bulan Ramdhan merupakan bulan pengtarbiyahan dari Allah s.w.t, jika sekiranya bulan ini kita dapat melaluinya dengan berjaya dengan pelbagai amalan yang baik maka sudah semestinya menampakkan bahawa kita dapat melakukan segala perkara tersebut dengan baik walaupun selama ini kita sentiasa berdalih dalam melakukan kebaikan. Namun, malangnya bagi kita setakat manakah kebaikan yang kita lakukan tersebut, adakah segala kebaikan yang dilakukan hanyalah untuk bulan Ramadhan semata-mata apabila berlalu Ramadhan kita kembali kepada perangai yang lama. Jika ini berlaku, adakah Ramadhan memberi satu pengertian kepada kita?

Pada bulan Ramadhan kita banyak melakukan kebajikan, kebaikan, ibadah dan sebagainya. Kita sanggup untuk ke masjid atau surau untuk melakukan solat terawih walaupun sebelum ini kita tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam rumah Allah tersebut tetapi Ramadhan mengajar kita untuk mengenali rumah Allah. Alhamdulillah, ini satu kejayaan Universiti Ramadhan. Tetapi malangnya apabila berlalu Ramadhan rumah-rumah Allah ini kembali kepada keadaan asal iaitu tiada orang mengimarahkannya, walaupun di sana ada perkara yang lebih wajib dipelajari pada bulan-bulan biasa iaitu kuliah-kuliah pengajian yang disampaikan oleh para ulama’. Perkara ini lebih wajib bagi umat Islam berbanding solat terawih, saya tidak mengetahui bagaimana cara pengiraan orang Melayu sehingga mewajibkan yang sunat dan mensunatkan yang wajib, ini adalah pengiraan yang tidak betul, kita perlu mengubahnya daripada terus merebak dalam masyarakat kita.

Dalam bulan Ramadhan juga kita amat menjaga pancaindera kita, kita menjaga pandangan kita dari melihat perkara-perkara yang haram, mulut kita, tangan kita, kaki kita, semuanya kita jaga daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah. Apabila berlalu Ramadhan bagaimanakah kita? Adakah kita mengekalkan perlakuan kita seperti bulan tersebut atau kembali melakukan kemaksiatan kerana Ramdhan telah berlalu. Apakah makna Ramadhan bagi kita, jika sekiranya selepas Ramadhan kita kembali kepada perangai lama. Adakah Ramadhan tidak memberi apa-apa makna kepada kita? Kita dapat menilai sendiri diri kita, sejauh manakah Ramadhan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita membentuk kita menjadi seorang muslim yang sejati atau bagi kita Ramadhan ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, amat malang jika kita berfikiran sedemikian. Kita juga dapat menilai, adakah Allah Taala menerima puasa kita atau sepanjang bulan Ramadhan ini kita hanya memperoleh apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w iaitu lapar dan dahaga semata-mata.

No comments:

Post a Comment