Sunday, September 5, 2010

Neraka


Apabila kita bertemu dengan bulan Ramadhan kita melihat situasi yang amat berbeza dengan bulan-bulan lain, di mana-mana sahaja masjid dan surau penuh, tidak kira solat apa sekalipun subuh, zuhur, asar, tidak diketahui sebabnya kenapa perlu ada perbezaan dalam perkara sebegini sebab itulah Ramadhan Al-Mubarak dan kita merupakan umat terpilih yang dipilih oleh Allah, mungkin kita terlalu banyak dosa dan kesalahan yang kita lakukan maka Allah memberi anugerah kepada kita untuk menampung dosa kita dengan amalan-amalan yang baik dan salah satunya adalah bulan Ramadhan tetapi malangnya selepas berkali-kali kita melalui Ramadhan, selepas Ramadhan kita tidak melihat kesannya, surau dan masjid kembali kepada keadaan asal. Para ulama’ menyatakan barang siapa yang menyembah Ramadhan, Ramadhan akan pergi berlalu meninggalkan mereka, Ramadhan bagaikan tetamu yang dimuliakan, tetapi sesiapa yang menyembah Allah, maka Allah kekal hidup dan tidak mati selama-lamanya.
Di manakah pemahaman kita sebagai umat Islam, kita lebih mengagungkan amalan sunat berbanding amalan wajib. Bagaimana kita melihat mereka lebih mengutamakan solat sunat terawih sedangkan solat maghrib mereka lakukannya di rumah masing-masing, betapa sesatnya mereka. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud seutama-utama solat bagi lelaki adalah di rumahnya kecuali solat fardu. Dan di sana terdapat pandangan daripada ulama mazhab yang menyatakan bahawa solat yang dilakukan oleh seorang lelaki di rumahnya sedangkan dia tidak mempunyai keuzuran untuk ke masjid atau surau tidak akan diterima oleh Allah walaupun solat itu sah dari segi hukum.
Sebab itulah diberitahu kepada kita tentang bulan Ramadhan ini dan di akhir bulan ini Nabi s.a.w menyatakan 
Di hujung Ramadhan hadiahnya, dibebaskan daripada api neraka.
 Mengingati neraka merupakan perkara paling basic dalam Islam, sebab itu, umat Islam yang langsung tidak mengingati neraka, mereka kena ingat mereka sedang melalui jalan-jalan yang sangat sempit. Neraka merupakan projek Allah yang sangat besar dan Nabi bersabda
Kamu jangan sekali-kali terlupa dua perkara yang besar yang kamu terlibat dengannya, satunya bernama syurga dan satunya lagi bernama neraka.
Mengingati neraka dan disebut akhir Ramadhan  dimerdekakan kita daripada api neraka, menunjukkan bahawa setiap kita mempunyai bakat untuk menjadi ahli neraka. Setiap kita tidak kira siapa hatta nabi-nabi dan rasul-rasul a.s sekalipun akan melalui neraka, tinggal lagi ada yang terselamat dan ada yang tersungkur ke dalamnya. Kita umat Islam diajar untuk takut kepada neraka, sebab itulah setiap daripada kita perlu menerapkan perkara ini dalam setiap perkara yang kita lakukan sama ada kita sebagai bapa, suami, bos dan sebagainya . 
Sebahagian daripada petikan tazkirah Ramadhan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ustaz Daud, Balai Besar, Dungun.

No comments:

Post a Comment