Dalam kita mencari lailatul qadr yang berbaki satu dua hari lagi, barangkali ada orang yang menyatakan yang lailatul qadr telah berlalu. Namun Nabi s.a.w menyatakan carilah lailatul qadr sepuluh malam terakhir dan baginda mengkhususkan lagi dengan sabdanya carilah lailatul qadr pada malam-malam yang ganjil. Di sana terdapat pandangan daripada Imam Ibnu Taimiyah yang menyatakan malam ganjil yang disebut oleh Nabi merupakan perkara yang samar kerana malam ganjil itu adakah dikira dari mula iaitu malam 21, 23, 25 dan seterusnya atau dikira dari belakang iaitu 20, 22, 24 dan seterusnya. Maka yang paling selamat ialah kita beramal sepanjang 10 terakhir Ramadhan ini.
Ada suatu cerita yang diceritakan oleh ulama’ “Aku berada di pantai pada suatu malam dan aku melihat hari itu cukup ganjil, lalu aku merasa air laut dan rasanya tawar tidak seperti hari-hari yang lain”. Mungkin tuan-tuan boleh mencuba setiap malam satu gelas air laut untuk menentukan malam al-qadr. Ini adalah karamah kepada para ulama’ dan belum tentu berlaku kepada kita dan kita perlu ingat mengetahui malam itu bukanlah menjadi syarat untuk diterima amalan kita pada malam tersebut.
Siti Aisyah r.a bertanya kepada Nabi s.a.w apakah amalan yang perlu dilakukan jika kita bertemu dengan malam al-qadr dan Nabi mengajar satu doa yang amat penting diamalkan, Nabi boleh mengajar banyak doa tetapi hanya satu yang Rasulullah berikan menunjukkan kepada kita betapa pentingnya doa ini iaitu,
اَللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فاَعْفُ عَنَّا
Ya Allah, Sesungguhnya Engkau zat Maha Pengampun lagi Maha Pemurah, senang pada ampunan, maka ampunilah kami, wahai zat yang Maha Pemurah.
Betapa perlunya kita memohon keampunan dari Allah s.w.t kerana keampunan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita merupakan kurniaan yang paling besar dalam kehidupan ini dan dengan keampunan ini jugalah setiap anugerah lain yang Allah kurniakan akan memberi kebaikan, kelebihan dan berbaloi kepada kita dan begitulah sebaliknya maka gunakanlah kesempatan yang dikurniakan oleh Allah Taala ini dengan Ramadhan hanya berbaki dua atau satu hari lagi sebaik-baiknya.
Petikan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ust. Omar Shukri, Dungun.
No comments:
Post a Comment