Saturday, September 4, 2010

Al-Qadr

Di antara kelebihan yang Allah Taala kurniakan kepada manusia pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan ialah malam al-qadr. Sebagaimana yang difirmankan olah Allah di dalam Al-Quran,

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ
Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam al-qadr.

Al-Quran yang diturunkan oleh Allah secara penuh sebanyak 30 juzuk di langit bumi dan selepas itu diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s. Ayat yang pertama yang diturunkan kepada Nabi s.a.w juga diturunkan pada malam al-qadr. Al-Quran yang diturunkan menjadi rahmat kepada manusia kerana selepas penurunan Al-Quran manusia dapat dinilai sama ada beriman atau kafir, taat atau maksiat, pahala atau dosa dan sebagainya. Sebelum ini, manusia tidak dinilai kerana mereka tidak dikurniakan satu indicator untuk menilai mereka.

تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬
Turunnya para malaikat dan Jibril pada malam itu dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan).

Turunnya para malaikat pada malam ini dengan tugas masing-masing terhadap manusia, ada yang mengaminkan doa, memasukkan ketakutan dalam diri musuh dan sebagainya. Yang paling berharga pada malam ini ialah turunnya malaikat Jibril a.s yang merupakan ketua bagi seluruh malaikat. Jibril hanya turun pada zaman Nabi s.a.w untuk menyampaikan wahyu pada ketika itu dan selepas kewafatan Nabi s.a.w Jibril tidak lagi turun ke bumi kecuali pada malam al-qadr dan seharusnya kita sebagai seorang yang mengharapkan redha Allah terutama pada bulan Ramadhan ini menggunakan anugerah yang Allah kurniakan ini sebaik-baiknya. Dan di akhir ayat tersebut Allah menyatakan

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ
Sejahteralah malam itu hingga terbitnya fajar.

Petikan daripada tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ust. Omar Shukri, Dungun.

1 comment: