Dalam keghairahan kita untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri jangan kita melupai bahawa kita sekarang berada pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan Al-Mubarak. Fasa terakhir yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai fasa pembebasan daripada api neraka. Dalam fasa ini juga dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w suatu malam yang nilainya jika kita beribadat pada malam tersebut ialah seperti kita beribadat selama 1000 tahun. Betapa pemurah-Nya Allah mengurniakan malam ini kepada umat Muhammad s.a.w.
Walaupun Allah tidak memberikan umur yang panjang kepada umat Muhammad seperti umat-umat yang lain tetapi Allah memberi peluang kepada kita untuk melakukan amal ibadat seperti yang dilakukan oleh mereka yang hidup pada zaman nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Kurniaan yang amat besar bagi sesiapa yang memahami serta menghayati tawaran yang diberikan Allah ini. Mereka sesekali tidak akan lupa kepada apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w mengenai malam lailatul qadr ini. Orang-orang yang merasakan mereka memerlukan tawaran ini sebagaimana mereka memerlukan kepada keperluan-keperluan asas akan sedaya upaya untuk mendapatkannya walaupun dilanda dengan pelbagai cubaan.
Memanglah setiap perkara yang baik hendak dilakukan akan disertakan bersama-samanya cubaan untuk melihat sejauh mana kita bersungguh untuk melakukannya. Jika hanya sekadar di bibir mulut sahaja maka mereka tidak akan dapat untuk berdepan dengan cubaan tersebut biarpun cubaan itu hanyalah perkara yang kecil dan remeh sahaja pun kita tidak akan dapat berhadapan dengannya. Kalaulah kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakukannya, Insya-Allah kita akan dapat menempuhinya dengan baik dan di akhir perbuatan tersebut kita akan dapat merasai kenikmatan dan kemanisan melakukan perkara tersebut. Ada sahabat yang menyatakan bukan mereka tidak mahu untuk berqiamulail tetapi dalam keadaan mata yang mengantuk mereka sukar untuk memberi fokus dalam solat tersebut dan saya tidak menafikan perkara tersebut kerana kita manusia diberikan malam oleh Allah untuk berehat dan tidur tetapi sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan sedikit waktu untuk berhadapan dengan Allah secara personal supaya kita lebih mengenali Allah dan Allah mengenali kita.
Tidak semestinya untuk mendapatkan lailatul qadr kita perlu untuk bangun malam dan melakukan solat sunat, itu hanyalah tambahan kepada mereka yang menginginkan ganjaran dan pahala yang lebih tetapi bagi mereka yang ingin mendapatkan lailatul qadr ini tanpa perlu bangun malam cukuplah kepada mereka melakukan solat sunat terawih dan bertadarus Al-Quran selepas daripada itu dan ini pun telah membolehkan mereka mendapat pahala lailatul qadr cumanya bangun malam adalah lebih baik kerana kita berhadapan dengan Allah ketika orang lain sedang tidur dan ini akan memberi kelebihan kepada kita. Maka yang paling baiknya adalah terpulang pada diri sendiri asalkan kita tidak melepaskan peluang yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t ini kerana tawaran ini hanya diberikan setahun sekali dan yang terbaiknya ialah kita mengikuti perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam mendapatkan lailatul qadr.
No comments:
Post a Comment