Friday, December 10, 2010

Bangunlah! Bertahajud Kepada Allah…


Oleh : muhamad agus syafii

Teman, Bangunlah! Bertahajudlah! Merapatkan kaki di sisi Allah pada pertengahan malam. Tidak ada seorang pun mengetahui kecuali Allah. Air mata mengalir membasahi pipi dan mencuci bersih hati yang terkotori.

Berlindung dan berharap kepada Allah memenuhi segala kebutuhan mendambakan redha Allah meredhai kita dengan kilauan cahaya di setiap wajah, anggota tubuh, istiqamah dalam beramal, ikhlas dalam hati dan senantiasa berfikir positif.

Nikmatilah! solat malam melebihi dalam tidur lelap, solat malam menjadikan bererti dalam hidup kita sebagai amal yang konsisten. Bahkan menjadi bagian yang tak terpisahkan. jadikan hati senantiasa gelisah karena merindukan solat malam dan senang menyambut malam karena berdiri di hadapan Allah dengan tenang dan khusyuk.

Teman, hidupkanlah malam dengan tahajud dan berzikir kepada Allah. Allah menggambarkan dengan indahnya bagi hamba-hamba-Nya yang senantiasa menunaikan solat tahajud. 'Orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami adalah yang apabila diingatkan dengannya mereka tersungkur sujud, bertasbih, memuji Tuhan, serta tidak menyombongkan diri. Lambung mereka jauh dari tempat tidur mereka.' (QS. Al-Sajadah : 15-16).

Wednesday, December 8, 2010

Kenapa U tak rogol I?


Oleh : Hilmi Halim
   
Kisah benar ini  berlaku di US (Amerika Syarikat).

Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.

Suatu malam perempuan  ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia  mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan  tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang  agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak  gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan  bersaorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan  tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan  agar Allah membantu dia di saat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu  bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik  lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke  rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang  perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong  yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut.  Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah  perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat  aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas  siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang  dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol  tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat  lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to  me on that night even though you know that I’m alone?”
(Kenapa awak tak buat  apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa  tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw  two young man walking with you. One on your right side and the other one was by  your left side. If you were alone of course you will be my victim.”
(Tak,  awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan  awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni  rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat  Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

Sunday, November 28, 2010

Dahsyatnya Hari Kiamat Dan Padang Mashyar

Oleh : suhaimi mohidin

Gambaran Hari Qiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagungan-Nya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagungan-Nya sebagai Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yang disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik di hari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

ⅰ- Pemimpin yang adil.

ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

ⅵ- Lelaki yang bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba di bumi.

✐ 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin di tengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak di hadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan di pateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang di bicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang di bawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Dipetik daripada blog Cina Islam

Tuesday, October 5, 2010

Hakikat Kehidupan

Bukan mudah untuk menerima suatu hakikat yang memeritkan. Kehilangan perasaan keperihatinan dan kecaknaan dari seseorang. Hakikat yang perlu diterima juga iaitu kadang kala kita dipuji dan dipuja dan kadang kala dicemuh dan dibenci namun inilah hakikat kehidupan yang perlu di lalui dan di terima, segala anugerah serta ujian yang diberikan pasti ada hikmahnya yang tersendiri. Yang menguatkan semangat hanyalah apabila mengingatkan bahawa ada lagi yang masih menyayangi diri iaitu Allah s.w.t.

Saturday, September 18, 2010

Pulang Ke U

Setelah dua minggu berada di kampung kini tiba masanya untuk pulang ke universiti, berat rasanya hati ini namun apakan daya tidak dapat tidak kehidupan perlu diteruskan walaupun kadang-kadang kita tidak menyukainya.

Tetapi apabila teringatkan rakan-rakan yang akan dijumpai di universiti maka saya menjadi bersemangat untuk pulang ke sana, mudah-mudahan Allah memanjangkan umur ini untuk bertemu dengan rakan-rakan kembali dan semoga Allah memelihara perjalanan pada malam ini agar selamat sampai ke destinasi yang dituju, insya-Allah.

Sunday, September 12, 2010

Sambutan Hari Raya

Dalam kita menyambut kemeriahan hari raya pada hari ini satu perkara yang saya lihat semakin terhakis dalam budaya kita dan perkara ini juga dituntut dalam agama iaitu budaya kunjung-mengunjung. Budaya yang semakin dilupai terutama oleh generasi muda pada hari ini, kenapakah perkara ini sudah dilupai oleh kita sedangkan inilah suatu perbuatan yang amat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Saya sendiri tidak mengetahui kenapa perkara ini berlaku, satu perasaan menilai perkara tersebut sebagai remeh, tidak penting dan tidak berfaedah. Oleh sebab itulah apabila diajak oleh keluarga kita untuk mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai, kita lebih suka untuk mengelak dari mengikuti mereka. Kadang-kadang kita lebih rela untuk melepak di rumah dari mengikuti mereka.

Television juga memainkan peranan yang penting dalam menghalang anak-anak muda ini daripada terus membudayakan amalan ini. Rancangan-rancangan yang dipaparkan dari pagi sehingga petang dan menular sehingga seminggu raya semuanya rancangan-rancangan yang menarik dan dapat memukau terutama kepada kanak-kanak dan remaja untuk terus berada di hadapan tv. Walaupun tetamu datang mereka tetap dengan dunia mereka, kalau sambut tetamu pun hanya untuk bersalam sahaja selepas itu sambung menonton tv kembali. Ada juga yang sibuk melayan internet terutamanya sekarang ini bukan sahaja para remaja tetapi juga seluruh peringkat usia menggilainya iaitulah laman sosial Facebook. Kadang-kadang tetamu datang pun mereka tidak perasan kerana asyik “berchating” dengan rakan-rakan. Barangkali inilah platform untuk mengeratkan hubungan sesama kita dalam zaman sekarang yang penuh dengan kemajuan ini.

Semoga selepas daripada ini kita menilai kembali perkara ini dan kembali menyuburkan perkara yang kita sendiri mematikannya.

Friday, September 10, 2010

Tetap Wajib Solat Jumaat Walau Pada Hari Raya


Soalan
Sejauh mana kekal hukum pengguguran solat Jumaat apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat. Sebabnya masih ada yang keliru dan mengambil langkah memilih untuk hadir salah satu daripada solat tersebut?
Jawapan
Dalam persoalan ini para ulama berselisih pendapat dalam menentukan kefarduan Jumaat.
Jumhur ulama bersetuju untuk tidak menggugurkan kefarduan Jumaat walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat yang telah dituntut oleh Allah SWT.
Imam Ahmad bin Hambal r.a berpendapat bahawa solat Jumaat gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, ini kerana sudah ada solat yang menghimpun manusia seumpama dengan solat Jumaat dan falsafahnya juga sama. Ditambah lagi, hari raya kebiasaannya orang sibuk dengan aktiviti khusus hari raya.
Imam Ahmad juga berhujah bahawa Saidina Uthman bin Affan mengizinkan penduduk kawasan tinggi di Madinah supaya tidak datang bersolat Jumaat.
Akan tetapi ulama menolak bahawa amalan seorang sahaja dari kalangan sahabat tidak boleh dijadikan hujah dalam persoalan pengguguran solat Jumaat. Hal ini juga tidak disepakati oleh jumhur ulama.
Penolakan ini dikukuhkan lagi dengan penghujahan daripada ayat al-Quran itu sendiri, dalam perintah solat Jumaat Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Jumu'ah: 9)
Di dalam ayat kefarduan Jumaat ini Allah SWT menyuruh dan meminta menuju ke masjid dengan kadar segera kepada menunaikan solat Jumaat seperti mana pada Jumaat-Jumaat yang lain termasuklah Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha.
Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A'immah karya Imam Al-Dimasyqi, telah dinyatakan bahawa: "Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan.
Demikianlah menurut pendapat Imam Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikan solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, bagi penduduk kampung mereka wajib menunaikan solat Jumaat. Menurut Imam Ahmad pula tidak wajib solat Jumaat sama ada penduduk tetap ataupun tidak. Kewajipan solat Jumaat gugur setelah mengerjakan solat hari raya. Tetapi mereka wajib solat Zuhur.
Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, "Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, 'Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukalaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya'.
Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah diberikan, ternyata bahawa dalam hal ini terdapat empat pendapat:
Solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota ( ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun, atau dari kampung yang yang terletak di kawasan yang tinggi, yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan.
Maka sekiranya mereka iaitu mereka yang datang dari kampung telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.
Solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada penduduk kota di kawasan yang dilaksanakan solat Jumaat mahupun bagi penduduk luar. Pendapat inilah yang dipegang oleh Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Maka, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur biarpun sesudah menunaikan solat hari raya.
Tidak wajib solat Jumaat, tetapi mereka wajib solat Zuhur. Demikianlah pendapat Imam Ahmad.
Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota. Bagi penduduk desa atau padang pasir (badwi) yang berkunjung ke kota untuk solat raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.
Bagi kita rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Kebenaran yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah.
Sumber : Al- Bakriah

Wednesday, September 8, 2010

Hari Terakhir Ramadhan


Satu perkara yang perlu diingati iaitu malam ini merupakan malam terakhir kita berada dalam bulan Ramadhan. Segala perbuatan yang kita lakukan sebulan yang lepas kini berada dipengakhirannya . Sebagaimana sabda Nabi s.a.w segala perbuatan yang dilakukan dilihat pada akhirnya, jika sekiranya baik maka baiklah dan jika buruk maka buruklah. Maka malam ini, perlulah kita melakukan sebaik mungkin segala-galanya  agar pengakhiran kepada puasa kita menjadi satu pengakhiran yang baik. Kepada sesiapa yang pada bermulanya bulan ini mereka melakukan perkara yang buruk mereka mempunyai peluang terakhir pada malam ini kerana kebaikan yang mereka lakukan pada malam ini adalah lebih baik bagi mereka berbanding dengan mereka yang pada mulanya baik tetapi pengakhirannya buruk. Lakukanlah sebaik-baiknya pada malam ini kerana malam ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang walaupun menangis air mata darah sekalipun, solat Isya’ yang kita lakukan pada malam ini tidak akan kembali lagi, solat terawih, begitu juga ibadat-ibadat lain yang kita lakukan pada malam ini tidak akan kembali lagi
kerana kita tidak mempunyai petua untuk hidup lagi pada Ramadhan yang akan datang.

Juga pada akhir-akhirnya, jangan lupa untuk mengeluarkan zakat, zakat yang dikeluarkan merupakan penyuci dan penampung kepada puasa kita seperti juga solat sunat rawatib yang dilakukan menjadi penampung kepada solat wajib yang dilakukan. Tunaikanlah zakat, keluarkanlah walaupun lebih daripada nilai yang patut dikeluarkan, jangan ditanya nilai-nilai yang diberikan keluarkan saja. Hatta, golongan miskin pun disunatkan untuk mengeluarkan zakat kerana zakat ini dikeluarkan setahun sekali bagi golongan yang tidak membayar cukai pendapatan ataupun zakat harta dan bagi golongan miskin Allah Taala memberi peluang kepada mereka untuk menjadi kaya walaupun setahun sekali, begitulah indahnya ajaran Islam.
Petikan tazkirah ringkas Ramadhan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ust. Omar Shukri, Dungun.

Tuesday, September 7, 2010

Hari-Hari Terakhir Ramadhan

Dalam kita mencari lailatul qadr yang berbaki satu dua hari lagi, barangkali ada orang yang menyatakan yang lailatul qadr telah berlalu. Namun Nabi s.a.w menyatakan carilah lailatul qadr sepuluh malam terakhir dan baginda mengkhususkan lagi dengan sabdanya carilah lailatul qadr pada malam-malam yang ganjil. Di sana terdapat pandangan daripada Imam Ibnu Taimiyah yang menyatakan malam ganjil yang disebut oleh Nabi merupakan perkara yang samar kerana malam ganjil itu adakah dikira dari mula iaitu malam 21, 23, 25 dan seterusnya atau dikira dari belakang iaitu 20, 22, 24 dan seterusnya. Maka yang paling selamat ialah kita beramal sepanjang 10 terakhir Ramadhan ini.

Ada suatu cerita yang diceritakan oleh ulama’ “Aku berada di pantai pada suatu malam dan aku melihat hari itu cukup ganjil, lalu aku merasa air laut dan rasanya tawar tidak seperti hari-hari yang lain”. Mungkin tuan-tuan boleh mencuba setiap malam satu gelas air laut untuk menentukan malam al-qadr. Ini adalah karamah kepada para ulama’ dan belum tentu berlaku kepada kita dan kita perlu ingat mengetahui malam itu bukanlah menjadi syarat untuk diterima amalan kita pada malam tersebut.

Siti Aisyah r.a bertanya kepada Nabi s.a.w apakah amalan yang perlu dilakukan jika kita bertemu dengan malam al-qadr dan Nabi mengajar satu doa yang amat penting diamalkan, Nabi boleh mengajar banyak doa tetapi hanya satu yang Rasulullah berikan menunjukkan kepada kita betapa pentingnya doa ini iaitu,

اَللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فاَعْفُ عَنَّا

Ya Allah, Sesungguhnya Engkau zat Maha Pengampun lagi Maha Pemurah, senang pada ampunan, maka ampunilah kami, wahai zat yang Maha Pemurah.

Betapa perlunya kita memohon keampunan dari Allah s.w.t kerana keampunan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita merupakan kurniaan yang paling besar dalam kehidupan ini dan dengan keampunan ini jugalah setiap anugerah lain yang Allah kurniakan akan memberi kebaikan, kelebihan dan berbaloi kepada kita dan begitulah sebaliknya maka gunakanlah kesempatan yang dikurniakan oleh Allah Taala ini dengan Ramadhan hanya berbaki dua atau satu hari lagi sebaik-baiknya.

Petikan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ust. Omar Shukri, Dungun.

Renungan Diri

Bulan Ramdhan merupakan bulan pengtarbiyahan dari Allah s.w.t, jika sekiranya bulan ini kita dapat melaluinya dengan berjaya dengan pelbagai amalan yang baik maka sudah semestinya menampakkan bahawa kita dapat melakukan segala perkara tersebut dengan baik walaupun selama ini kita sentiasa berdalih dalam melakukan kebaikan. Namun, malangnya bagi kita setakat manakah kebaikan yang kita lakukan tersebut, adakah segala kebaikan yang dilakukan hanyalah untuk bulan Ramadhan semata-mata apabila berlalu Ramadhan kita kembali kepada perangai yang lama. Jika ini berlaku, adakah Ramadhan memberi satu pengertian kepada kita?

Pada bulan Ramadhan kita banyak melakukan kebajikan, kebaikan, ibadah dan sebagainya. Kita sanggup untuk ke masjid atau surau untuk melakukan solat terawih walaupun sebelum ini kita tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam rumah Allah tersebut tetapi Ramadhan mengajar kita untuk mengenali rumah Allah. Alhamdulillah, ini satu kejayaan Universiti Ramadhan. Tetapi malangnya apabila berlalu Ramadhan rumah-rumah Allah ini kembali kepada keadaan asal iaitu tiada orang mengimarahkannya, walaupun di sana ada perkara yang lebih wajib dipelajari pada bulan-bulan biasa iaitu kuliah-kuliah pengajian yang disampaikan oleh para ulama’. Perkara ini lebih wajib bagi umat Islam berbanding solat terawih, saya tidak mengetahui bagaimana cara pengiraan orang Melayu sehingga mewajibkan yang sunat dan mensunatkan yang wajib, ini adalah pengiraan yang tidak betul, kita perlu mengubahnya daripada terus merebak dalam masyarakat kita.

Dalam bulan Ramadhan juga kita amat menjaga pancaindera kita, kita menjaga pandangan kita dari melihat perkara-perkara yang haram, mulut kita, tangan kita, kaki kita, semuanya kita jaga daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah. Apabila berlalu Ramadhan bagaimanakah kita? Adakah kita mengekalkan perlakuan kita seperti bulan tersebut atau kembali melakukan kemaksiatan kerana Ramdhan telah berlalu. Apakah makna Ramadhan bagi kita, jika sekiranya selepas Ramadhan kita kembali kepada perangai lama. Adakah Ramadhan tidak memberi apa-apa makna kepada kita? Kita dapat menilai sendiri diri kita, sejauh manakah Ramadhan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita membentuk kita menjadi seorang muslim yang sejati atau bagi kita Ramadhan ini sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain, amat malang jika kita berfikiran sedemikian. Kita juga dapat menilai, adakah Allah Taala menerima puasa kita atau sepanjang bulan Ramadhan ini kita hanya memperoleh apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w iaitu lapar dan dahaga semata-mata.

Sunday, September 5, 2010

Neraka


Apabila kita bertemu dengan bulan Ramadhan kita melihat situasi yang amat berbeza dengan bulan-bulan lain, di mana-mana sahaja masjid dan surau penuh, tidak kira solat apa sekalipun subuh, zuhur, asar, tidak diketahui sebabnya kenapa perlu ada perbezaan dalam perkara sebegini sebab itulah Ramadhan Al-Mubarak dan kita merupakan umat terpilih yang dipilih oleh Allah, mungkin kita terlalu banyak dosa dan kesalahan yang kita lakukan maka Allah memberi anugerah kepada kita untuk menampung dosa kita dengan amalan-amalan yang baik dan salah satunya adalah bulan Ramadhan tetapi malangnya selepas berkali-kali kita melalui Ramadhan, selepas Ramadhan kita tidak melihat kesannya, surau dan masjid kembali kepada keadaan asal. Para ulama’ menyatakan barang siapa yang menyembah Ramadhan, Ramadhan akan pergi berlalu meninggalkan mereka, Ramadhan bagaikan tetamu yang dimuliakan, tetapi sesiapa yang menyembah Allah, maka Allah kekal hidup dan tidak mati selama-lamanya.
Di manakah pemahaman kita sebagai umat Islam, kita lebih mengagungkan amalan sunat berbanding amalan wajib. Bagaimana kita melihat mereka lebih mengutamakan solat sunat terawih sedangkan solat maghrib mereka lakukannya di rumah masing-masing, betapa sesatnya mereka. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud seutama-utama solat bagi lelaki adalah di rumahnya kecuali solat fardu. Dan di sana terdapat pandangan daripada ulama mazhab yang menyatakan bahawa solat yang dilakukan oleh seorang lelaki di rumahnya sedangkan dia tidak mempunyai keuzuran untuk ke masjid atau surau tidak akan diterima oleh Allah walaupun solat itu sah dari segi hukum.
Sebab itulah diberitahu kepada kita tentang bulan Ramadhan ini dan di akhir bulan ini Nabi s.a.w menyatakan 
Di hujung Ramadhan hadiahnya, dibebaskan daripada api neraka.
 Mengingati neraka merupakan perkara paling basic dalam Islam, sebab itu, umat Islam yang langsung tidak mengingati neraka, mereka kena ingat mereka sedang melalui jalan-jalan yang sangat sempit. Neraka merupakan projek Allah yang sangat besar dan Nabi bersabda
Kamu jangan sekali-kali terlupa dua perkara yang besar yang kamu terlibat dengannya, satunya bernama syurga dan satunya lagi bernama neraka.
Mengingati neraka dan disebut akhir Ramadhan  dimerdekakan kita daripada api neraka, menunjukkan bahawa setiap kita mempunyai bakat untuk menjadi ahli neraka. Setiap kita tidak kira siapa hatta nabi-nabi dan rasul-rasul a.s sekalipun akan melalui neraka, tinggal lagi ada yang terselamat dan ada yang tersungkur ke dalamnya. Kita umat Islam diajar untuk takut kepada neraka, sebab itulah setiap daripada kita perlu menerapkan perkara ini dalam setiap perkara yang kita lakukan sama ada kita sebagai bapa, suami, bos dan sebagainya . 
Sebahagian daripada petikan tazkirah Ramadhan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ustaz Daud, Balai Besar, Dungun.

Saturday, September 4, 2010

Al-Qadr

Di antara kelebihan yang Allah Taala kurniakan kepada manusia pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan ialah malam al-qadr. Sebagaimana yang difirmankan olah Allah di dalam Al-Quran,

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ
Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam al-qadr.

Al-Quran yang diturunkan oleh Allah secara penuh sebanyak 30 juzuk di langit bumi dan selepas itu diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan Jibril a.s. Ayat yang pertama yang diturunkan kepada Nabi s.a.w juga diturunkan pada malam al-qadr. Al-Quran yang diturunkan menjadi rahmat kepada manusia kerana selepas penurunan Al-Quran manusia dapat dinilai sama ada beriman atau kafir, taat atau maksiat, pahala atau dosa dan sebagainya. Sebelum ini, manusia tidak dinilai kerana mereka tidak dikurniakan satu indicator untuk menilai mereka.

تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬
Turunnya para malaikat dan Jibril pada malam itu dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan).

Turunnya para malaikat pada malam ini dengan tugas masing-masing terhadap manusia, ada yang mengaminkan doa, memasukkan ketakutan dalam diri musuh dan sebagainya. Yang paling berharga pada malam ini ialah turunnya malaikat Jibril a.s yang merupakan ketua bagi seluruh malaikat. Jibril hanya turun pada zaman Nabi s.a.w untuk menyampaikan wahyu pada ketika itu dan selepas kewafatan Nabi s.a.w Jibril tidak lagi turun ke bumi kecuali pada malam al-qadr dan seharusnya kita sebagai seorang yang mengharapkan redha Allah terutama pada bulan Ramadhan ini menggunakan anugerah yang Allah kurniakan ini sebaik-baiknya. Dan di akhir ayat tersebut Allah menyatakan

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ
Sejahteralah malam itu hingga terbitnya fajar.

Petikan daripada tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ust. Sheikh Hanafi di Surau Ust. Omar Shukri, Dungun.

Friday, September 3, 2010

Terawih Di Kampung Halaman


Setelah sampai di kampung halaman pada pagi tadi, Alhamdulillah, malam ini diberi peluang oleh Allah untuk bersolat terawih di belakang Ust. Sheikh Hanafi, walaupun bermula Ramadhan saya sering menjadi imam terawih di universiti, malam ini dapat menjadi makmum pula di belakang seorang ustaz muda yang amat saya kagumi sejak mula beliau pulang ke tanah air pada tahun 2004. Semangat muda yang ada pada diri beliau dalam menyampaikan dakwah amat saya kagumi. Saya mula mengenali beliau sejak beliau di bangku sekolah lagi kerana kebetulan rumah saya bersebelahan dengan Sekolah Agama Sultan Ismail dan sempat untuk berkenalan dengan beliau, waktu itu saya masih kecil lagi.

Kali pertama saya mengikuti kuliah beliau semasa di tingkatan empat ketika mula-mula beliau pulang dari Mesir di Masjid Padang Jambu. Semangat yang ditunjukkan melalui nada suara yang keras dan tinggi semasa menyampaikan kuliah menarik minat saya selain pengisian kuliah tersebut dan sehingga hari ini saya mengikuti kuliah yang disampaikan oleh beliau. Pada bulan Ramadhan beliau akan menjadi imam di Surau Ustaz Omar Shukri dan memberi tazkirah ringkas di tengah-tengah solat terawih.

Wednesday, September 1, 2010

Mengejar Lailatul Qadr


Dalam keghairahan kita untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri jangan kita melupai bahawa kita sekarang berada pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan  Al-Mubarak. Fasa terakhir yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai fasa pembebasan daripada api neraka. Dalam fasa ini juga dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w suatu malam yang nilainya jika kita beribadat pada malam tersebut ialah seperti kita beribadat selama 1000 tahun. Betapa pemurah-Nya Allah mengurniakan malam ini kepada umat Muhammad s.a.w. 

Walaupun Allah tidak memberikan umur yang panjang kepada umat Muhammad seperti umat-umat yang lain tetapi Allah memberi peluang kepada kita untuk melakukan amal ibadat seperti yang dilakukan oleh mereka yang hidup pada zaman nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Kurniaan yang amat besar bagi sesiapa yang memahami serta menghayati tawaran yang diberikan Allah ini. Mereka sesekali tidak akan lupa kepada apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w mengenai malam lailatul qadr ini. Orang-orang yang merasakan mereka memerlukan tawaran ini sebagaimana mereka memerlukan kepada keperluan-keperluan asas akan sedaya upaya untuk mendapatkannya walaupun dilanda dengan pelbagai cubaan.

Memanglah setiap perkara yang baik hendak dilakukan akan disertakan bersama-samanya cubaan untuk melihat sejauh mana kita bersungguh untuk melakukannya. Jika hanya sekadar di bibir mulut sahaja maka mereka tidak akan dapat untuk berdepan dengan cubaan tersebut biarpun cubaan itu hanyalah perkara yang kecil dan remeh sahaja pun kita tidak akan dapat berhadapan dengannya. Kalaulah kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakukannya, Insya-Allah kita akan dapat menempuhinya dengan baik dan di akhir perbuatan  tersebut kita akan dapat merasai kenikmatan dan kemanisan melakukan perkara tersebut. Ada sahabat yang menyatakan bukan mereka tidak mahu untuk berqiamulail tetapi dalam keadaan mata yang mengantuk mereka sukar untuk memberi fokus dalam solat tersebut dan saya tidak menafikan perkara tersebut kerana kita manusia diberikan malam oleh Allah untuk berehat dan tidur tetapi sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan sedikit waktu untuk berhadapan dengan Allah secara personal supaya kita lebih mengenali Allah dan Allah mengenali kita. 

Tidak semestinya untuk mendapatkan lailatul qadr kita perlu untuk bangun malam dan  melakukan solat sunat, itu hanyalah tambahan kepada mereka yang menginginkan ganjaran dan pahala yang lebih tetapi bagi mereka yang ingin mendapatkan lailatul qadr ini tanpa perlu bangun malam cukuplah kepada mereka melakukan solat sunat terawih dan bertadarus Al-Quran selepas daripada itu dan ini pun telah membolehkan mereka mendapat pahala lailatul qadr cumanya bangun malam adalah lebih baik kerana kita berhadapan dengan Allah ketika orang lain sedang tidur dan ini akan memberi kelebihan kepada kita. Maka yang paling baiknya adalah terpulang pada diri sendiri asalkan kita tidak melepaskan peluang yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t  ini kerana tawaran ini hanya diberikan setahun sekali dan yang terbaiknya ialah kita mengikuti perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam mendapatkan lailatul qadr.