Beberapa hari kebelakangan ini, kita di momokan dengan berita mengenai Negara Kristian yang ingin ditubuhkan. Begitu juga Perdana Menteri Malaysia yang ingin ditukar kepada penganut Kristian. Betul atau tidak perkara ini saya tidak pasti ataupun sekadar untuk menarik sokongan politik?. Yang pastinya kita perlu melihat kenapa perkara ini timbul sekarang ini dalam jangka masa kita telah merdeka lebih daripada 50 tahun.
Kenapa kita melihat hari ini seolah-olah rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam merasa tidak senang tinggal di bawah pemerintahan yang dikatakan Islam ini?. Mesti ada satu perkara yang tidak kena di sini. Sedangkan Negara Islam yang ditubuhkan oleh Nabi Muhammad s.a.w tidak timbul perkara ini.
Puak-puak Yahudi yang tinggal di Madinah selesa berada di bawah payung Islam dan mereka merasakan mereka lebih selamat di bawah pemerintahan Islam kalau ada pun yang menentang ialah golongan yang benar-benar membenci agama ini sahaja. Bahkan ada dalam kalangan mereka yang memeluk Islam setelah melihat sendiri betapa adilnya sistem pemerintahan Islam ini.
Tetapi sebaliknya berlaku dalam negara kita, setelah 50 tahun merdeka, mereka ini semacam semakin tidak selesa berada dalam negara ini sehinggakan keluar berita-berita yang tidak sepatutnya keluar pada pandangan saya. Apakah kefahaman kepada agama Islam itu sendiri telah diberikan kepada mereka?.
Soal mereka terima atau tidak itu soal kedua dan ketiga tetapi yang utamanya penerangan itu sendiri. Apabila mereka telah faham Islam walaupun tidak menerima, mereka akan tetap menghormatinya dan tahu akan kelebihannya, menyebabkan tiada alasan untuk mereka mempertikaikan Islam itu sendiri.
Jika ini tidak dilakukan, agak malang bagi kita kerana setelah 50 tahun kita masih gagal untuk memahamkan mereka. Satu jangka masa yang amat panjang. Ada orang kata macam mana nak fahamkan orang bukan Islam, yang Islam sejak lahir tu sendiri pun tak faham-faham mengenai agama mereka.
Ini masalah yang kita sendiri cari dan bagi saya penyelesaian yang drastik perlu dilakukan dalam negara ini dan bagaimana caranya itu terpulang kepada kepandaian masing-masing. Perubahan ini untuk memastikan tiada lagi masalah-masalah yang lebih dahsyat akan timbul selepas daripada ini ataupun dalam rangka 50 tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment