Wednesday, September 1, 2010

Mengejar Lailatul Qadr


Dalam keghairahan kita untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri jangan kita melupai bahawa kita sekarang berada pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan  Al-Mubarak. Fasa terakhir yang disebut oleh Nabi s.a.w sebagai fasa pembebasan daripada api neraka. Dalam fasa ini juga dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w suatu malam yang nilainya jika kita beribadat pada malam tersebut ialah seperti kita beribadat selama 1000 tahun. Betapa pemurah-Nya Allah mengurniakan malam ini kepada umat Muhammad s.a.w. 

Walaupun Allah tidak memberikan umur yang panjang kepada umat Muhammad seperti umat-umat yang lain tetapi Allah memberi peluang kepada kita untuk melakukan amal ibadat seperti yang dilakukan oleh mereka yang hidup pada zaman nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Kurniaan yang amat besar bagi sesiapa yang memahami serta menghayati tawaran yang diberikan Allah ini. Mereka sesekali tidak akan lupa kepada apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w mengenai malam lailatul qadr ini. Orang-orang yang merasakan mereka memerlukan tawaran ini sebagaimana mereka memerlukan kepada keperluan-keperluan asas akan sedaya upaya untuk mendapatkannya walaupun dilanda dengan pelbagai cubaan.

Memanglah setiap perkara yang baik hendak dilakukan akan disertakan bersama-samanya cubaan untuk melihat sejauh mana kita bersungguh untuk melakukannya. Jika hanya sekadar di bibir mulut sahaja maka mereka tidak akan dapat untuk berdepan dengan cubaan tersebut biarpun cubaan itu hanyalah perkara yang kecil dan remeh sahaja pun kita tidak akan dapat berhadapan dengannya. Kalaulah kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk melakukannya, Insya-Allah kita akan dapat menempuhinya dengan baik dan di akhir perbuatan  tersebut kita akan dapat merasai kenikmatan dan kemanisan melakukan perkara tersebut. Ada sahabat yang menyatakan bukan mereka tidak mahu untuk berqiamulail tetapi dalam keadaan mata yang mengantuk mereka sukar untuk memberi fokus dalam solat tersebut dan saya tidak menafikan perkara tersebut kerana kita manusia diberikan malam oleh Allah untuk berehat dan tidur tetapi sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan sedikit waktu untuk berhadapan dengan Allah secara personal supaya kita lebih mengenali Allah dan Allah mengenali kita. 

Tidak semestinya untuk mendapatkan lailatul qadr kita perlu untuk bangun malam dan  melakukan solat sunat, itu hanyalah tambahan kepada mereka yang menginginkan ganjaran dan pahala yang lebih tetapi bagi mereka yang ingin mendapatkan lailatul qadr ini tanpa perlu bangun malam cukuplah kepada mereka melakukan solat sunat terawih dan bertadarus Al-Quran selepas daripada itu dan ini pun telah membolehkan mereka mendapat pahala lailatul qadr cumanya bangun malam adalah lebih baik kerana kita berhadapan dengan Allah ketika orang lain sedang tidur dan ini akan memberi kelebihan kepada kita. Maka yang paling baiknya adalah terpulang pada diri sendiri asalkan kita tidak melepaskan peluang yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t  ini kerana tawaran ini hanya diberikan setahun sekali dan yang terbaiknya ialah kita mengikuti perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam mendapatkan lailatul qadr.   

Thursday, August 26, 2010

Sambutan Hari Lahir

Mengenai sambutan untuk meraikan hari lahir terhadap rakan-rakan boleh dilakukan dan tidak salah namun di sebalik aktiviti yang dilakukan tersebut janganlah sehingga melampau-lampau. Kan kita orang Melayu mempunyai adab dan sopan yang diajar sejak kecil lagi. Mana adab yang diajar oleh orang tua kita, guru-guru kita sehingga kita lupa kepada perkara yang diajar oleh mereka.

Ada dalam kalangan kita yang melampau-lampau dalam menyambut ulang tahun ini sehingga pada satu tahap mereka sanggup mengenakan rakan mereka dengan simbahan air najis. Air yang dicampurkan dengan pelbagai benda-benda yang kotor dan tidak sepatutnya diberikan kepada manusia. Tetapi inilah hakikat orang kita yang tidak memikirkan apa yang mereka lakukan itu betul ataupun tidak, yang mereka fikirkan hanyalah keseronokan diri mereka sendiri tanpa mempedulikan rakan yang mereka kenakan tersebut.

Bukan saya membantah melakukan aktiviti seperti ini tetapi cukuplah melakukan aktiviti yang sekadar ingin menyampaikan mesej bahawa kita mengingati tarikh lahir sahabat kita tersebut. Saya paling anti dalam bab ini, tetapi kadang-kadang hadir juga dalam majlis seperti ini untuk menjaga hati rakan-rakan. Kalau diminta saya melakukan perkara tersebut saya rasa tidak akan sesekali melakukannya. Bahkan jika terkena pada diri sendiri pun belum tentu saya boleh memaafkan orang yang melakukan perkara tersebut. Dahlah dilakukan di tempat awam, semua mata memandang kepada kita betapa aibnya diri pada ketika itu. Saya pernah menyebut perkara ini kepada sahabat baik saya iaitu satu perkara yang sukar untuk saya buang dalam diri ini ialah jika saya sayang seseorang itu maka saya akan menyayanginya 100 peratus bahkan boleh sampai kepada 1000 peratus tetapi jika saya benci dengan orang tersebut saya juga akan membencinya 2000 peratus.

Saya mengetahui perkara ini tidak baik tetapi agak sukar untuk saya menerima hakikat pengkhianatan terhadap diri ini. Inilah yang menyebabkan apabila tiba hari lahir saya maka saya akan memberi peringatan kepada rakan-rakan terlebih dahulu jangan melakukan perkara yang saya tidak sukai walaupun perkara ini dianggap gurauan tetapi gurauan yang amat terlampau sehingga boleh mengaibkan seseorang. Pesanan saya janganlah melakukan perkara sebegini lagi kerana belum tentu orang yang kita melakukan perkara ini kepadanya dapat menerimanya sebagai gurauan. Sehinggakan ada orang yang apabila tiba tarikh lahirnya tidak berada di bilik menyembunyikan diri sendiri.

Wednesday, August 25, 2010

Hari Jadi & Hari Lahir

Bersempena ucapan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ataupun hari lahir yang saya ucapkan sebelum ini kepada sahabat saya, saya ingin memperbetulkan perkara yang selama ini saya lihat banyak berlegar dalam budaya kita iaitu mengucapkan selamat hari jadi kepada rakan-rakan mereka. Sebenarnya ucapan sedemikian merupakan suatu kesalahan bahasa kerana hari jadi merujuk kepada hari manusia dijadikan dan kita semua mempunyai hari jadi yang sama dimana semua kita diciptakan oleh Allah bersama-sama Nabi Adam a.s. Begitu juga dengan ibu bapa, nenek, atuk, adik-beradik dan sebagainya semua mereka mempunyai hari jadi yang sama dengan kita.

Perbezaan umur yang wujud pada kita dan rakan-rakan hari ini adalah kerana kita diberi kesempatan oleh Allah wujud di atas muka bumi ini melalui proses kelahiran dan setiap daripada kita mempunyai tarikh lahir yang berbeza-beza dan di sana ramai lagi yang tidak berkesempatan untuk melihat dunia ini dan akan tiba masa bagi mereka untuk dilahirkan seperti kita dan ungkapan yang sebenar untuk diucapkan ialah Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran atau Hari Lahir.