Thursday, August 26, 2010

Sambutan Hari Lahir

Mengenai sambutan untuk meraikan hari lahir terhadap rakan-rakan boleh dilakukan dan tidak salah namun di sebalik aktiviti yang dilakukan tersebut janganlah sehingga melampau-lampau. Kan kita orang Melayu mempunyai adab dan sopan yang diajar sejak kecil lagi. Mana adab yang diajar oleh orang tua kita, guru-guru kita sehingga kita lupa kepada perkara yang diajar oleh mereka.

Ada dalam kalangan kita yang melampau-lampau dalam menyambut ulang tahun ini sehingga pada satu tahap mereka sanggup mengenakan rakan mereka dengan simbahan air najis. Air yang dicampurkan dengan pelbagai benda-benda yang kotor dan tidak sepatutnya diberikan kepada manusia. Tetapi inilah hakikat orang kita yang tidak memikirkan apa yang mereka lakukan itu betul ataupun tidak, yang mereka fikirkan hanyalah keseronokan diri mereka sendiri tanpa mempedulikan rakan yang mereka kenakan tersebut.

Bukan saya membantah melakukan aktiviti seperti ini tetapi cukuplah melakukan aktiviti yang sekadar ingin menyampaikan mesej bahawa kita mengingati tarikh lahir sahabat kita tersebut. Saya paling anti dalam bab ini, tetapi kadang-kadang hadir juga dalam majlis seperti ini untuk menjaga hati rakan-rakan. Kalau diminta saya melakukan perkara tersebut saya rasa tidak akan sesekali melakukannya. Bahkan jika terkena pada diri sendiri pun belum tentu saya boleh memaafkan orang yang melakukan perkara tersebut. Dahlah dilakukan di tempat awam, semua mata memandang kepada kita betapa aibnya diri pada ketika itu. Saya pernah menyebut perkara ini kepada sahabat baik saya iaitu satu perkara yang sukar untuk saya buang dalam diri ini ialah jika saya sayang seseorang itu maka saya akan menyayanginya 100 peratus bahkan boleh sampai kepada 1000 peratus tetapi jika saya benci dengan orang tersebut saya juga akan membencinya 2000 peratus.

Saya mengetahui perkara ini tidak baik tetapi agak sukar untuk saya menerima hakikat pengkhianatan terhadap diri ini. Inilah yang menyebabkan apabila tiba hari lahir saya maka saya akan memberi peringatan kepada rakan-rakan terlebih dahulu jangan melakukan perkara yang saya tidak sukai walaupun perkara ini dianggap gurauan tetapi gurauan yang amat terlampau sehingga boleh mengaibkan seseorang. Pesanan saya janganlah melakukan perkara sebegini lagi kerana belum tentu orang yang kita melakukan perkara ini kepadanya dapat menerimanya sebagai gurauan. Sehinggakan ada orang yang apabila tiba tarikh lahirnya tidak berada di bilik menyembunyikan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment