Lama tidak menulis, dengan kesibukan yang melanda diri sejak pulang bercuti ini menyebabkan saya kurang mengupdate blog. Berukband pulak buat hal ketika kita nak gunakan dia. Hehe… memang masalah. Tapi hari ni insya-Allah saya mahu mengulas sedikit mengenai peristiwa yang berlaku beberapa hari lepas. Walaupun sedikit terlewat tetapi saya rasa isu ini masih lagi panas diperkatakan dalam masyarakat hari ini.
Apabila Abang Mat Sabu memenangi jawatan Timbalan Presiden bagi Parti Islam se-Malaysia (PAS) dalam muktamar yang berlangsung baru-baru ini, ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang kecewa kerana calon mereka kalah. Itulah adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah, yang penting selepas daripada ini kita sama-sama membangunkan parti ini ke arah yang lebih baik lagi. Ramai juga yang menyatakan bahawa pengaruh ulama’ dalam parti ini semakin mengurang. Adakah perkara ini benar?...
Bagi saya perkara ini tidak sepatutnya timbul kerana parti ini diterajui oleh golongan ulama’. Kenapa saya menyatakan demikian?. Ini kerana di dalam Pas itu sendiri di dalamnya terdapat Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama' yang akan menapis dan membincangkan setiap perkara yang akan diputuskan oleh parti. Ini bermakna sesuatu keputusan itu tidak akan dibuat atau dilaksanakan jika keputusan itu tidak dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama' ini.
Jadi tidak timbul bahawa ulama’ tidak lagi mempunyai kuasa selepas daripada ini. Hatta jika pun selepas daripada ini Presidennya bukan lagi diri kalangan ulama’, parti ini tetap dipandu oleh golongan ulama’. Turut dimasukkan di dalamnya peranan Mursyidul AM yang akan tetap dipegang oleh golongan ulama’. Maka tidak lagi timbul isu ulama’ ataupun bukan ulama’ atau yang sering disebutkan oleh pihak media iaitu golongan ulama’ dan profesional.
Yang keduanya, tidak perlu dibimbangkan, kerana setiap ahli di dalam parti mendapat pentarbiahan yang terbaik daripada parti dan ulama’ itu sendiri maka insya-Allah tidak akan berlaku perkara yang akan bertentangan dengan prinsip Islam. Dalam keadaan parti lain dalam Pakatan Rakyat berdepan dengan ahli Parlimen dan ADUN yang melompat parti, Alhamdulillah, parti ini dilindungi oleh Allah daripada masalah tersebut dengan pentarbiahan daripada golongan ulama’.
Saya sendiri mengalaminya, terus terang saya nyatakan di sini bahawa Pas banyak mengubah hidup saya. Daripada tidak kenal ilmu agama sehinggalah menjadi saya seperti hari ini, walaupun tidak menjadi ulama’ atau ustaz tetapi sekurang-kurangnya ilmu itu boleh digunakan untuk diri sendiri selain mengenali dengan lebih dekat agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dan sedikit sebanyak boleh memberi tazkirah dan peringatan kepada diri dan orang lain. Saya tidak menyatakan bahawa seseorang itu akan kuat agamanya bila bersama Pas, ada juga yang duduk dalam Pas tetapi tidak solat, puasa dan tidak melakukan tuntutan agama yang lain tetapi ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri.
Secara peribadi saya mengenali Pas ini pada tahun 2000, selepas Pas memerintah Terengganu, kali pertama saya tertarik dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Akhil Hayy. Mulanya hanya tertarik dengan telatahnya berceramah sahaja tetapi selepas itu tertarik pula kepada partinya. Selepas itulah saya mengenali pemimpin-pemimpinnya yang lain melalui ceramah-ceramah sama ada melalui VCD atau ceramah yang diadakan di kawasan saya. Dalam ceramah yang disampaikan itu terselit unsur-unsur agama yang menyebabkan Allah s.w.t membuka pintu hati saya untuk lebih mendalami ilmu agama. Kerana dalam Pas mereka bukan hanya bercakap mengenai politik semata-mata, tetapi mereka juga menjaga manusia daripada mengundang murka daripada Allah Taala. Maknanya mereka memandu manusia untuk menjadi seorang hamba yang benar-benar bertaqwa kepada Allah dan memperoleh syurga yang dijanjikan oleh-Nya.
Di masjid ataupun di surau saya mendapat pentarbiahan daripada ustaz yang sememangnya berjuang dalam agama Allah ini dan yang pertama yang menjadi guru saya ialah ADUN Sura pada hari ini Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli. Pada ketika itu beliau seorang EXCO kerajaan negeri dan sehingga hari ini saya masih lagi mengikuti kuliah yang disampaikan oleh beliau. Selepas itu, saya mengikuti pelbagai kuliah agama daripada ustaz pelbagai latar belakang agama termasuk juga Tok Guru Nik Aziz, Tok Guru Haji Hadi dan pimpinan yang lain, menyebabkan saya merasakan diri ini semakin dekat dengan agama.
Pada saya Pas memberi banyak sumbangan kepada diri ini dalam mengenali Allah serta agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mungkin dengan tulisan ini ada yang menyatakan saya mengada-ngada tetapi saya menceritakan kisah saya berdasarkan kepada pengalaman saya dan untuk menunjukkan betapa berkesannya tarbiah yang berlaku di dalam Pas ini terutamanya daripada golongan ulama’ termasuk juga program lain yang dilakukan seperti usrah, tamrin, kem dan sebagainya yang semuanya dilakukan untuk melahirkan seorang manusia yang betul-betul menjadi manusia yang berjalan di atas muka bumi ini dengan petunjuk dan redha daripada al-Khalik yang mencipta dirinya. Bagi saya pentarbiahan ini benar-benar menjadikan saya seorang manusia dan hamba Allah...
No comments:
Post a Comment