Penulis: Pak Sako
Perwakilan PAS telah memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat yang baru untuk penggal 2011-2013. Majoriti pasukan ini terdiri daripada golongan profesional (jurutera, doktor dan sebagainya). Mereka merupakan ahli-ahli PAS yang bukan berkelulusan agama atau berpangkatkan ulama.
Paling ketara melemparkan kritikan ini tanpa sebarang bukti ialah Datuk Ibrahim Ali, presiden PERKASA dan Tun Dr Mahathir Mohamad, maskot persatuan tersebut.
Seperti kedua-dua pemimpin tersebut, rakyat Malaysia pun mungkin keliru tentang kedudukan PAS berhubung cita-cita melaksanakan negara Islam.
Rencana ini bertujuan menjawab soalan “sama ada PAS sudah benar-benar menyeleweng dari dasar Islam dan matlamat negara Islam, atau sebaliknya”.
A. Adakah perlembagaan PAS menolak Islam dan cita-cita menubuhkan negara Islam?
PAS tidak boleh lari daripada asas dan matlamat parti seperti yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Oleh itu kita perlu meninjau dan memahami sedikit kandungan perlembagaan PAS.
Misalnya, dasar PAS masih tercatat sebagai 'Islam'. Tidak pun dipinda kepada 'Kebajikan' ataupun 'Melayu'. Dua tujuan parti PAS masih ialah perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang menurut nilai-nilai hidup Islam, serta mempertahankan kesucian Islam.
Usaha-usaha parti pula menghuraikan langkah-langkah yang akan diambil oleh PAS untuk mencapai tujuan-tujuan parti. Di antara usaha-usaha utama PAS ialah untuk mendakwah kepada semua “umat manusia” (dengan menitikberatkan bukan Muslim), menjadikan Islam “sebagai panduan berpolitik dan bernegara”, dan “memperkenalkan nilai-nilai keIslaman” dalam usaha menegakkan keadilan dan membawa kemajuan ke dalam semua bidang termasuk “pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi, sosial, serta pelajaran dan pendidikan”.
Secara ringkasnya, kesemua yang disebutkan di atas merupakan rangka dan rancangan-rancangan penting dalam membentuk sebuah negara Islam.
Jalan untuk meminda atau membatalkan dasar, tujuan-tujuan dan usaha-usaha PAS bukanlah mudah.
Menurut Fasal 86, cadangan pindaan perlu dikemukakan oleh ahli parti kepada setiausaha agung parti, dan jika terima, persetujuan dua pertiga (66.7%) suara yang hadir di dalam muktamar tahunan PAS diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan.
B. Majlis syura ulama lebih berkuasa daripada jawatankuasa kerja pusat?
Majlis syura ulama PAS ialah badan yang tertinggi di dalam hierarki kuasa PAS. Jawatankuasa kerja pusat, termasuk presiden dan timbalan presidennya, terletak pada peringkat yang kedua. Pada peringkat seterusnya ialah Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (wanita).
Ahli-ahli majlis syura dipilih dan dilantik tidak lebih daripada lima orang oleh majlis syura ulama sendiri; empat orang oleh jawatankuasa kerja ulama pusat; empat lagi oleh jawatankuasa kerja pusat; dan dua masing-masing oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS (Fasal 8(4)).
Perhatikan bahawa pemilihan ahli-ahli majlis syura bukan melalui pertandingan demokratik sepertimana ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih oleh ahli-ahli PAS di muktamar. Namun majlis syuralah yang mengawal halatuju jawatankuasa kerja pusat dan PAS seluruhnya.
Juga, lebih daripada 50% daripada ulama di dalam majlis syura dipilih oleh golongan ulama sendiri (sembilan ahli daripada 17 ahlinya dipilih oleh majlis syura dan jawatankuasa ulama pusat). Dominasi golongan ulama cukup kuat di dalam PAS walaupun jika jawatankuasa kerja PAS pusat dikuasai 100% oleh puak profesional.
Penguasaan kepimpinan ulama diperkukuhkan lagi oleh peranan majlis syura. Antara tugas utama majlis syura ulama ialah untuk 'menjamin' kekuasaan PAS tidak terkeluar daripada mematuhi hukum tertinggi iaitu Al-Quran dan Sunnah, dan muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum itu (Fasal 8(1a)).
Dalam erti kata lain, majlis syura tidak akan membenarkan jawatankuasa kerja pusat menyimpang daripada dasar dan tujuan-tujuan parti seperti penubuhan negara Islam walaupun sejengkal. Dengan itu, soal puak profesional menidakkan atau melawan matlamat negara Islam tidak timbul sama sekali. Mereka perlu melangkah mayat majlis syura dahulu.
Mampukah Datuk Nik Aziz Nik Mat menutup mata kepada peminggiran matlamat negara Islam? Tidak mungkin. Menurut perlembagaan PAS Fasal 9(1c), tugas Mursyidul Am ialah untuk “mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.
Mengikut temuramah akhbar, beliau “terus mendokong konsep kepimpinan ulama” dan berpendapat bahawa “Majlis syura perlu diperkukuhkan agar PAS tidak terkeluar daripada dasar perjuangan Islam”. Jelas bahawa Mat Sabu bukan ancaman kepada aspirasi negara Islam.
C. Kesimpulan.
- Nik Aziz, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalan presidennya Mat Sabu atau mana-mana ahli jawatankuasa kerja PAS pusat tidak pernah menolak atau menafikan harapan PAS untuk menubuhkan satu negara Islam suatu hari kelak.
- Konsep 'negara berkebajikan' yang diwar-warkan PAS ialah satu dasar sosio-ekonomi semata-mata yang tidak bercanggah dengan ataupun membatalkan matlamat utama mewujudkan sebuah negara Islam.
Ibrahim Ali, Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak perlu gelisah tentang halatuju PAS. Ini selagi majlis syura PAS yang menjadi nadi cita-cita negara Islam masih wujud dan tidak dibubarkan. Jawatankuasa kerja pusat hanya melaksanakan kehendak parti dan wajib mematuhi semangat perlembagaan parti.
- Konsep 'negara berkebajikan' dan pemilihan puak profesional ke dalam jawatankuasa kerja pusat lebih merupakan satu strategi PAS untuk memancing undi kelompok bukan Muslim dan Muslim golongan sederhana yang was-was terhadap 'pengIslaman' Malaysia yang radikal atau menyeluruh.
- PAS amat sedar bahawa negara Islam perlu dilaksanakan dengan lembut dan perlahan agar tidak ditentang masyarakat Malaysia yang tidak mendokong sebuah negara Malaysia yang berlandaskan Islam teokratik (yang tidak sejajar dengan semangat perlembagaan persekutuan Malaysia).
- Tidak ada konflik langsung di antara golongan profesional dengan fahaman 'kepimpinan ulama'. Bezanya hanya dari segi pendekatan, iaitu sebahagian daripada golongan ulama lebih cenderung berpakat dengan Umno untuk mendapatkan kuasa manakala puak profesional berpegang bahawa PAS perlu menolak pinangan Umno dan mengalahkan Umno untuk merampas tampuk kuasa.
- Para pemimpin Umno yang kononnya melahirkan rasa dukacita terhadap slogan 'negara berkebajikan' PAS sebenarnya takut dengan pendekatan golongan profesional yang lebih agresif dan menolak usaha 'perpaduan' Melayu-Islam yang dipelopori Umno. Mereka berasa bimbang hilang undi jika penyokong Melayu atau bumiputera Umno lebih teruja dengan PAS yang 'berimej lembut' dan Pakatan Rakyat secara amnya.
No comments:
Post a Comment