Wednesday, April 29, 2009

Empat Perspektif Kesejagatan Islam

Di dalam bab ini Dr. Yusuf Qardhawi menghuraikan empat dimensi penting yang digunakan untuk mengklasifikasikan ajaran Islam. Beliau menggariskan empat dimensi penting yang digunakan iaitu yang pertama aspek peribadi iaitu meliputi iman dan akhlak, aspek yang kedua aspek sosial, seterusnya aspek hukum yang berkaitan dengan politik dan yang terakhir aspek alam iaitu aspek yang berkait dengan peradaban.

Dalam huraian bab pertama iaitu aspek peribadi, beliau menyatakan aspek yang paling terpengaruh bagi jiwa ialah iman dan akhlak kerana aspek ini akan dapat memperbaiki jiwa dengan keyakinan dan kebersihan hati. Syarat utama untuk membaiki masyarakat ialah dengan berpandukan kepada jiwa kerana jika sekiranya jiwa manusia dalam sesebuah masyarakat itu bersih dan baik maka mudahlah untuk memperbaiki masyarakat tersebut. Berbeza dengan fahaman Marxis mereka menyatakan untuk mengubah masyarakat atau sejarah perkara utama yang perlu diubah ialah sektor ekonomi dan industri.

Beliau juga menyatakan untuk membersih atau mengubah isi jiwa dengan akidah , keimanan yang benar dan tauhid yang lurus iaitu mengakui Allah yang Esa serta menggunakan hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t dan tidak menggunakan hukum yang dibuat oleh manusia. Tauhid yang kuat juga membentuk manusia yang suci jiwanya kerana mereka akan melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan habuan di sebalik perbuatan mereka serta berani menegakkan kebenaran di dalam sesebuah masyarakat.

Akidah juga merupakan aspek yang penting kerana akidah yang betul akan memberikan kekuatan jiwa yang sebenar untuk berjihad menegakkan agama Allah Taala. Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w berjaya mengubah masyarakat dari masyarakat jahiliah kepada masyarakat yang berpegang teguh kepada agama Islam semuanya menggunakan kaedah pembetulan akidah.

Selain itu, kekuatan iman juga akan dapat mengubah perilaku manusia kerana kekuatan iman terbukti mampu mengubah tradisi bangsa Arab Jahiliah kepada akidah Islam yang hakiki. Hal ini demikian kerana, iman merupakan pembenaran dalam hati, diucapkan dengan lisan dan dikerjakan dengan anggota badan.

Aspek kedua yang dihuraikan oleh Dr. Yusuf Qardhawi ialah aspek sosial yang sangat berkait rapat dengan perhubungan kemasyarakatan. Agama Islam menitik beratkan keperluan masyarakat dan individu terutama dalam aspek sosial. Islam mendorong umatnya memiliki tanggungjawab sosial tetapi berdasarkan landasan-landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Aspek ini juga berkaitan dengan hukum-hakam yang dikaitkan dengan masyarakat seperti hudud, qisas dan takzir. Dalam bab ini juga tanggungjawab sosial antara masyarakat contohnya hubungan antara orang kaya dan orang miskin.

Diterangkan juga bagaimana golongan daif ini merupakan golongan yang diberikan kemuliaan oleh Allah s.w.t kerana berdasarkan sabda Nabi s.a.w “Sesungguhnya kamu mendapatkan rezeki dan kemenangan dengan orang yang lemah di antara kamu”. Ini bermakna golongan miskin juga mempunyai peranannya tersendiri di dalam masyarakat dan tidak sepatutnya golongan ini disisihkan dari masyarakat.

Seterusnya penulis juga menghuraikan aspek yang ketiga iaitu aspek hukum atau yang berkait dengan politik. Dalam bab ini penulis menerangkan cara berpolitik dan memerintah sesebuah negara dengan adil. Beliau juga mengukirkan kata-kata Hassan al-Basri, imam atau pemimpin adalah orang yang menjadi penghubung di antara Allah s.w.t dan hamba-hambanya. Pemimpin harus mendengar seruan Allah dan menyampaikan kepada rakyat. Dia sentiasa tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah s.w.t. Pemimpin yang adil juga merupakan satu daripada golongan yang disabdakan oleh Nabi s.a.w sebagai golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah Taala pada hari akhirat kelak. Penulis juga menggariskan prinsip musyawarah yang betul bagi melahirkan sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Dengan prinsip musyawarah bererti Islam tidak membenarkan atau memberi peluang untuk munculnya pemimpin diktator yang membawa umat Islam kepada jalan kehancuran.

Aspek terakhir yang diterangkan oleh penulis adalah aspek alam atau yang berkait dengan peradaban. Aspek ini penting dengan misi Islam untuk memakmurkan dunia dan menegakkan peradaban. Peradaban merupakan nilai-nilai baik yang berada dalam diri manusia dan nilai ini akan sekali gus dapat memakmurkan bumi ini kerana nilai yang baik akan dapat melahirkan masyarakat yang semuanya memberi manfaat antara satu sama lain. Sejarah juga membuktikan bagaimana Islam pernah berjaya membangunkan peradaban yang megah dan seimbang, menggabungkan roh dan kebendaan, iman dan ilmu, moral dan kekuatan. Pada ketika itu Islam menjadi peradaban yang paling unggul, bahkan tiada tolok bandingnya di dunia.
Bermula dari sinilah orang-orang Eropah mula mempelajari ilmu pengetahuan di institusi pengajian Islam dan dari sini juga mereka mengembangkan ilmu pengetahuan dengan pelbagai ujian dan dengan sebab itulah mereka dapat mencipta nama di dunia sedangkan ilmu-ilmu tersebut pada asalnya dimulakan oleh umat Islam dan mereka mengambilnya menjadikan sebuah teori dan menyatakan itulah teori mereka.

Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang syumul serta dengan berpegang kepada ajaran Islam sahajalah kita dapat membangunkan dunia ini dengan adil dan saksama bahkan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang baik serta mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment