Wednesday, April 29, 2009

Golongan Yang Tidak Reput Mayatnya

Disebutkan di dalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAKBERCAKAP.

Bertanya orang kepada Rasulullah saw : 'Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari kiamat ?'

Maka jawabnya Rasulullah saw 'Umatku dikenali kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'.' Bila kiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan.

Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu 'itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN' mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian' Siratul Mustaqim dan memasuki Alam SYURGA, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku.

Disebutkan oleh hadis Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal di waktu mati :-

1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. Para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika merekaitu dari kalangan orang yang beriman.

Di dalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah r.a sabda Rasulullah saw: Apabila datang hari QIAMAT dan orang-orang yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah s.w.t memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:

' Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa ( Ahli Puasa ) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga. Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah-buahan SYURGA'.

Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekalian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buah-buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi.

Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaimana yang di firman oleh Allah s.w.t di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud :'Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada hari yang telah lalu itu.

'Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati. ' Dan ( ingatlah ) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.' Surah Al-Baqarah : 237

Empat Perspektif Kesejagatan Islam

Di dalam bab ini Dr. Yusuf Qardhawi menghuraikan empat dimensi penting yang digunakan untuk mengklasifikasikan ajaran Islam. Beliau menggariskan empat dimensi penting yang digunakan iaitu yang pertama aspek peribadi iaitu meliputi iman dan akhlak, aspek yang kedua aspek sosial, seterusnya aspek hukum yang berkaitan dengan politik dan yang terakhir aspek alam iaitu aspek yang berkait dengan peradaban.

Dalam huraian bab pertama iaitu aspek peribadi, beliau menyatakan aspek yang paling terpengaruh bagi jiwa ialah iman dan akhlak kerana aspek ini akan dapat memperbaiki jiwa dengan keyakinan dan kebersihan hati. Syarat utama untuk membaiki masyarakat ialah dengan berpandukan kepada jiwa kerana jika sekiranya jiwa manusia dalam sesebuah masyarakat itu bersih dan baik maka mudahlah untuk memperbaiki masyarakat tersebut. Berbeza dengan fahaman Marxis mereka menyatakan untuk mengubah masyarakat atau sejarah perkara utama yang perlu diubah ialah sektor ekonomi dan industri.

Beliau juga menyatakan untuk membersih atau mengubah isi jiwa dengan akidah , keimanan yang benar dan tauhid yang lurus iaitu mengakui Allah yang Esa serta menggunakan hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t dan tidak menggunakan hukum yang dibuat oleh manusia. Tauhid yang kuat juga membentuk manusia yang suci jiwanya kerana mereka akan melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan habuan di sebalik perbuatan mereka serta berani menegakkan kebenaran di dalam sesebuah masyarakat.

Akidah juga merupakan aspek yang penting kerana akidah yang betul akan memberikan kekuatan jiwa yang sebenar untuk berjihad menegakkan agama Allah Taala. Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w berjaya mengubah masyarakat dari masyarakat jahiliah kepada masyarakat yang berpegang teguh kepada agama Islam semuanya menggunakan kaedah pembetulan akidah.

Selain itu, kekuatan iman juga akan dapat mengubah perilaku manusia kerana kekuatan iman terbukti mampu mengubah tradisi bangsa Arab Jahiliah kepada akidah Islam yang hakiki. Hal ini demikian kerana, iman merupakan pembenaran dalam hati, diucapkan dengan lisan dan dikerjakan dengan anggota badan.

Aspek kedua yang dihuraikan oleh Dr. Yusuf Qardhawi ialah aspek sosial yang sangat berkait rapat dengan perhubungan kemasyarakatan. Agama Islam menitik beratkan keperluan masyarakat dan individu terutama dalam aspek sosial. Islam mendorong umatnya memiliki tanggungjawab sosial tetapi berdasarkan landasan-landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Aspek ini juga berkaitan dengan hukum-hakam yang dikaitkan dengan masyarakat seperti hudud, qisas dan takzir. Dalam bab ini juga tanggungjawab sosial antara masyarakat contohnya hubungan antara orang kaya dan orang miskin.

Diterangkan juga bagaimana golongan daif ini merupakan golongan yang diberikan kemuliaan oleh Allah s.w.t kerana berdasarkan sabda Nabi s.a.w “Sesungguhnya kamu mendapatkan rezeki dan kemenangan dengan orang yang lemah di antara kamu”. Ini bermakna golongan miskin juga mempunyai peranannya tersendiri di dalam masyarakat dan tidak sepatutnya golongan ini disisihkan dari masyarakat.

Seterusnya penulis juga menghuraikan aspek yang ketiga iaitu aspek hukum atau yang berkait dengan politik. Dalam bab ini penulis menerangkan cara berpolitik dan memerintah sesebuah negara dengan adil. Beliau juga mengukirkan kata-kata Hassan al-Basri, imam atau pemimpin adalah orang yang menjadi penghubung di antara Allah s.w.t dan hamba-hambanya. Pemimpin harus mendengar seruan Allah dan menyampaikan kepada rakyat. Dia sentiasa tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah s.w.t. Pemimpin yang adil juga merupakan satu daripada golongan yang disabdakan oleh Nabi s.a.w sebagai golongan yang akan mendapat perlindungan daripada Allah Taala pada hari akhirat kelak. Penulis juga menggariskan prinsip musyawarah yang betul bagi melahirkan sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Dengan prinsip musyawarah bererti Islam tidak membenarkan atau memberi peluang untuk munculnya pemimpin diktator yang membawa umat Islam kepada jalan kehancuran.

Aspek terakhir yang diterangkan oleh penulis adalah aspek alam atau yang berkait dengan peradaban. Aspek ini penting dengan misi Islam untuk memakmurkan dunia dan menegakkan peradaban. Peradaban merupakan nilai-nilai baik yang berada dalam diri manusia dan nilai ini akan sekali gus dapat memakmurkan bumi ini kerana nilai yang baik akan dapat melahirkan masyarakat yang semuanya memberi manfaat antara satu sama lain. Sejarah juga membuktikan bagaimana Islam pernah berjaya membangunkan peradaban yang megah dan seimbang, menggabungkan roh dan kebendaan, iman dan ilmu, moral dan kekuatan. Pada ketika itu Islam menjadi peradaban yang paling unggul, bahkan tiada tolok bandingnya di dunia.
Bermula dari sinilah orang-orang Eropah mula mempelajari ilmu pengetahuan di institusi pengajian Islam dan dari sini juga mereka mengembangkan ilmu pengetahuan dengan pelbagai ujian dan dengan sebab itulah mereka dapat mencipta nama di dunia sedangkan ilmu-ilmu tersebut pada asalnya dimulakan oleh umat Islam dan mereka mengambilnya menjadikan sebuah teori dan menyatakan itulah teori mereka.

Kesimpulannya, Islam merupakan agama yang syumul serta dengan berpegang kepada ajaran Islam sahajalah kita dapat membangunkan dunia ini dengan adil dan saksama bahkan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang baik serta mendapat rahmat daripada Allah s.w.t.

Monday, April 20, 2009

Yahudi mahu orang Islam jadi kafir

MEMANGLAH orang Yahudi berusaha supaya orang Islam menjadi kafir. Antaranya cara hidup mereka yang kita terima dengan terang dan jelas sekali iaitu teori-teori politik, ekonomi, pendidikan yang dilaksanakan pada hari ini atau yang dipanggil sosialisme, kapitalisme, pragmatisme, demokrasi dan seumpamanya, Jika dikaji teori-teori ini adalah dilahirkan oleh orang Yahudi atau Nasrani.

Merekalah yang mencipta teori-teori dan falsafah ini, di mana kebanyakan orang Islam percaya kepada teori ini sehingga sanggup menolak Islam sekali gus tidak menyedari diri telah menjadi kafir. Inilah apa yang dikehendaki oleh orang kafir yang Allah Taala sebut di dalam ayat yang kita mesti menyedarinya.

Apa yang berlaku itu adalah kerana hasad dengki mereka selepas ternyata bagi mereka kebenaran. Mereka sudah mengetahui bahawa Islam itu agama yang benar. Memang ramai kita mendengar orang yang tidak percaya kepada Islam dengan mengaku bahawa Islam itulah yang betul.

Kalau ditanya mengapa tidak mahu ikut Islam? Mereka menjawab Islam tidak boleh dan tidak sesuai dilaksanakan pada zaman sekarang. Kenyataan itu serupa dengan apa yang disebut di dalam ayat al-Quran.

Kepada ahli kitab pada zaman Nabi, Allah memerintahkan supaya memaafkan mereka dan membiarkan mereka sehingga Allah Taala mendatangkan perintah-Nya sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu, maksud ayat 109 surah al-Baqarah.

Ayat memaafkan mereka dimansukhkan hukumnya. Kalau kita lihat Allah menyatakan di dalam ayat itu. Sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Apakah perintah-Nya? Perintah-Nya ialah firman Allah Taala dalam ayat 29 surah at-Taubah, maksudnya: Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah.

Firman Allah Taala yang bermaksud: Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan daripada kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani." Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah datang keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar."

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Dan orang-orang Yahudi berkata: "Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; dan orang-orang Nasrani pula berkata: "Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)"; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menceritakan tentang kesesatan Yahudi dan Nasrani serta kebingungan mereka di mana di antara kesesatan dan kejahatan mereka antara lain ialah mereka berkata bahawa tidak akan masuk syurga melainkan orang Yahudi. Ertinya selain Yahudi, tidak akan boleh sama sekali memasuki syurga Allah SWT.

Nukilan daripada buku 'Usaha jahat Yahudi' Kuliah Tafsir Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, halaman 13-17 bab 124. _

Thursday, April 9, 2009

Wuduk Zahir dan Batin

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."Isam bertanya, "Bagaimana wuduk zahir dan batin itu? " Hatim berkata, "Wuduk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air".

Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya ' )
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

"Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan":
1. aku sedang berhadapan dengan Allah,
2. Syurga di sebelah kananku,
3. Neraka di sebelah kiriku,
4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5. aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ' Siratal mustaqim ' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, InsyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya.

Friday, April 3, 2009

Kajian Mengenai Solat

Saya tertarik dengan hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya yang mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Sama-samalah kita menghayatinya.

Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dalam buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.

"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah," katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain, katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).

"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit.

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.-end-

Wednesday, April 1, 2009

Kisah Pemuda & Lalat

"Diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang dua orang pemuda yang melintasi sebuah kuil. Apabila mereka melintasi di hadapan kuil itu, mereka ditahan oleh sekumpulan pemuda kafir dan tidak membenarkan mereka melintasi kuil tersebut kecuali mereka mempersembahkan sesuatu kepada patung di kuil tersebut. Jika mereka melintasi kuil itu tanpa mempersembahkan sesuatu, mereka akan dibunuh..

Lalu bertanyalah pemuda-pemuda tersebut tentang persembahan yang perlu diberikan kepada patung itu. Maka jawab pemuda-pemuda kafir itu " Berilah apa saja yang mampu asalkan ada persembahan".

Maka pemuda pertama menangkap seekor lalat lalu dibunuhnya lalat tersebut dan dipersembahkan kepada patung di kuil tersebut. Ini kerana apalah salahnya menangkap lalat dan dipersembahkan kepada patung itu kerana pada pandangannya perbuatannya itu amat kecil sekali berbanding segala amalan yang telah dibuatnya, maka dia pun dilepaskan pergi.

Sedangkan pemuda kedua tidak mahu mempersembahkan apa-apa kepada patung itu kerana baginya mempersembahkan sesuatu kepada patung adalah syirik dan itu merupakan dosa besar. Maka dia berkeras dan tetap dengan pendiriannya agar tidak akan mempersembahkan apa juga kepada patung itu. Akibatnya dia ditangkap dan dibunuh.

Maka sambung Rasulullah s.a.w. pemuda pertama masuk neraka walaupun dosanya hanya mempersembahkan lalat kepada patung manakala pemuda kedua masuk syurga kerana berjaya mempertahankan keimanan dan tidak diganggu-gugat oleh sebarang ugutan.

Maka kita juga perlulah mengambil iktibar agar tidak melakukan dosa walau sekecil mana pun kerana kita tidak tahu di mana letaknya kemurkaan Allah. Ditakuti nanti dosa yang kita anggap kecil, sebenarnya mengundang kemurkaan Allah dan disebabkan dosa itu kita dihumban ke neraka. Nauzubillah.....