Thursday, August 12, 2010

Ramadhan kedua

Alhamdulillah, dapat lagi bertemu dengan Ramadhan dengan izin Allah S.W.T. Malam ini masuk hari kedua kita bertarawih, bagaimanakah amalan kita apabila telah masuk hari kedua kita berpuasa. Adakah tiada pembaharuan daripada hari-hari sebelum ini. Semalam selepas solat maghrib saya sempat memberi sedikit tazkirah kepada rakan-rakan, apakah matlamat kita diwajibkan oleh Allah berpuasa. Adakah hanya semata-mata untuk merasa lapar dan dahaga lalu Allah mengurniakan pahala kepada kita. Jika begitu lebih baik Allah memberi pahala kepada sahabat-sahabat kita yang tidak makan bukan sahaja pada siang hari tetapi mereka juga tidak makan pada malam hari. Adakah ini matlamat sebenar puasa...

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini memberikan lebih makna kepada diri dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T serta menghayati puasa dengan lebih baik lagi daripada tahun-tahun yang sudah. SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK moga-moga kita menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Allah ini dengan sepenuhnya dan apabila kita keluar daripada bulan tarbiyah ini ketakwaan kepada Allah lebih mendalam lagi berbanding sebelum kita memasuki bulan yang penuh keberkatan ini. InsyaAllah.

Saturday, May 1, 2010

Fatwa semasa merokok menjurus kepada haram

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Muazd bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka janganlah kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya." (HR. At Tabrani dan Abu Nuaim)

***
Kini heboh seantero dunia dalam gabus (filter) rokok ada sel babi. Namun saya perhatikan perokok tegar tidak ambil 'pot'. Di bahagian beranda surau kampung saya ada tersedia beberapa tempat habuk rokok. Demikian juga di beberapa surau dan masjid lain di seluruh negara. Ramai orang veteran gemar duduk-duduk di tangga atau beranda surau dan masjid, menghembuskan asap penuh kenikmatan, terutama selepas solat asar dan isyak.

Jadi, tidakkah 'asap babi' bertebaran di ruang surau dan masjid. Apakah hukum perbuatan ini?

Di sini sukacita saya menjalankan amanah menegur perbuatan merokok berdasarkan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka.

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.

4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

Sehubungan itu saya berharap, penghisap rokok menghentikan tabiat buruk itu terutama di beranda serta tangga surau dan masjid. Dibimbangi anda menghebus dan menebarkan asap zat babi dalam masjid dan surau. Tentulah ini kesalahan amat serius dan suatu dosa besar.

Kepada pengurusan masjid dan pihak penguat kuasa agama, saya berpendapat tidak cukup dengan hanya meletakkan papan tanda DILARANG MEROKOK atau MEROKOK ADALAH HARAM di dinding atau ruang depan masjid.

Tangkap saja orang merokok di kawasan masjid terutama di berandanya dan hadapkan mereka ke mahkamah. Apabila berita mereka tersiar di dada-dada akhbar, barulah penghisap 'sel babi' di kawasan sekitar masjid akan takut dan lama kelamaan akan insaf.

Kepada penanam tembakau, marilah kita bersama-sama menukar kepada tanaman lain untuk mendapat keberkatan Ilahi. Sekian, harap dimaaf teguran saya dan terima kasih.

Dipetik daripada blog lanh14.blogspot.com

Tuesday, March 23, 2010

33 Kata Hikmat

1. “Apabila kata-kata keluar daripada hati, maka ia akan masuk ke dalam hati, apabila kata-kata keluar daripada lidah, maka ia akan hilang begitu sahaja” – Nabi Muhammad S.A.W

2. “Bukanlah yang dikatakan kuat itu dengan hebatnya bergusti, sesungguhnya orang yang kuat adalah mereka yang mampu menahan dirinya daripada sifat marah” – Nabi Muhammad S.A.W

3. “Bukanlah yang dikatakan kaya itu adalah kaya harta benda, tetapi hakikat sebenar kaya adalah mereka yang kaya jiwa (budi pekerti)” – Nabi Muhammad S.A.W

4. “Permulaan itu itu adalah 1.dengar 2.faham 3.hafal 4. amal 5.sebar (dakwah)” – Ibnu Mas’ud (Kitab Hilyatu Aulia’)

5. “Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan, tiada kepimpinan tanpa ketaatan” – Saidina Umar R.A

6. “Makin bertambah ilmuku makin terasa kebodohanku” – Imam Syafie

7. “Katakan siapa kawan saudara, kemudian saya akan katakan siapa sebenarnya saudara” – Imam al-Ghazali

8. “Rumahku Syurgaku” – Ibnu Taimiah

9. “Barangsiapa yang tidak berubat menggunakan al-Quran, maka Allah tidak akan menyembuhkan penyakitnya” –Ibnu Qayyim al-Jauzi

10. “Orang yang tidak melalui dunia (ambil dunia), maka dia tidak akan dapat masuk syurga” – Ibnu Taimiah

11. “Ulamak dunia adalah ulamak yang menjadikan agamanya tempat cari makan (menjual agama dengan harga yang murah)” – Imam al-Ghazali

12. “Ya Allah seandainya aku beribadat kepada-Mu semata-mata kerana takutkan azab api neraka-Mu, maka Kau masukkanlah aku ke dalam neraka” – Rabiatul Adawiah

13. “Sesungguhnya hidayah itu tidak akan sampai melainkan dengan ilmu” – Ibnu Qayyim al-Jauzi

14. “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka dia akan kenal siapa Tuhannya” – Ulamak Sufi

15. “Ilmu yang bermanfaat itu adalah sesuatu yang mendatangkan takut kepada Allah S.W.T” – Imam al-Ghazali

16. “Di saat engkau dilahirkan orang lain ketawa engkau yang menangis, maka berjuanglah di saat engkau meninggal dunia, biarlah orang lain yang menangis engkau yang gembira” – Hamka

17. “Memisahkan agama dan politik adalah cara yang paling mudah untuk menjadi kafir” – Syeikh Mustafa Sobri

18. “Sesiapa yang meniru golongan yang soleh, maka ia akan dimuliakan sebagaimana mereka dimuliakan, sesiapa yang meniru golongan yang fasik ia tidak akan dimuliakan” – Al-‘Aqomi

19. “Orang yang buta huruf pada zaman ini adalah mereka yang tidak bersedia untuk belajar perkara baru” – Troffler

20. “Jangan tanya apa yang negara boleh sumbang kepada anda, tanyalah apa yang anda boleh sumbang kepada negara” – Washington Kennedy

21. “Keberanian mengandungi keajaiban, kuasa dan kebijaksanaan di dalamnya” – Geothe (pujangga Itali)

22. “Pengikut bukannya menyokong pemimpin tapi mereka hanya menyokong perjuangannya” – Mahatma Gandhi

23. “Pemimpin yang hebat dilihat sebagai hamba kepada organisasi” – Greenleaf

24. “Ramai orang berusaha mencari siapa yang bersalah daripada menyelesaikan masalah itu” – Robert Schuller

25. “Apabila saudara mula ke hadapan masyarakat, kekuatan dan keterampilan saudara banyak bergantung kepada kebolehan saudara dalam menyampaikan ucapan dan idea” – Peter Druker

26. “Kemahiran berucap adalah faktor paling utama seseorang pemimpin dilihat berkarisma dan hebat” – Conger dan Konungo

27. “Berikan saya 10 orang pemuda, nescaya saya akan gegarkan dunia” – Sukarno

28. “Harga sesebuah kemasyhuran adalah tanggungjawab” – Winston Churchill

29. “Apa yang seseorang lakukan dalam kehidupan sosialnya adalah cerminan daripada kehidupan peribadinya” – Steven R. Covey

30. “Tatacara saudara menjadi tidak bermakna sekiranya ia tidak dilakukan dengan keyakinan” – Elisabeth Egan

31. “Tiada terpelihara kehormatan yang tinggi daripada penderitaan, sehingga mengalir darah dari tiap-tiap bahagian tubuh” – Hamka

32. “Saya fikir kita harus kembali kepada agama” – tokoh Athies

33. “Barangsiapa yang masih lagi tidak meninggalkan maksiat walaupun umurnya mencecah 40 tahun maka bersiap-siaplah untuk dihumbankan ke dalam neraka” – Imam al-Ghazali